Oleh: Noor Syaibah Shabuddin
TANJONG MALIM, 13 Jun 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program L.E.A.P: Leadership, Empathy, Attitude and Persistent pada 13 Jun 2026 bertempat di Blok 09, Aras 2, Bilik Kuliah 03, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang ini turut mendapat kerjasama Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) UPSI.
Program telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee, yang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan pembentukan sahsiah, nilai empati serta kepimpinan dalam melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masyarakat.



Program ini bertujuan membangunkan potensi kepimpinan mahasiswa melalui pengukuhan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan pembuatan keputusan yang berkesan. Selain itu, program ini turut memupuk nilai empati dan sikap positif agar peserta lebih peka terhadap keperluan masyarakat, menghormati kepelbagaian serta mampu membina hubungan interpersonal yang harmoni.
Di samping itu, penerapan nilai ketekunan, disiplin dan semangat tidak mudah berputus asa diberi penekanan bagi membentuk individu yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran akademik, kokurikulum dan kehidupan.
Pengisian utama program disampaikan oleh penceramah jemputan, Encik Mohd Fahrizal Asmy Mohd Ali, Pensyarah Kaunseling di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, menerusi modul L.E.A.P yang memberi penekanan kepada aspek kepimpinan, empati, sikap positif dan ketekunan sebagai elemen penting dalam pembangunan diri mahasiswa. Sesi perkongsian yang interaktif berjaya menarik penyertaan mahasiswa yang hadir.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau, sijil penghargaan telah disampaikan kepada penceramah jemputan oleh Puan Noor Syaibah Shabuddin pada akhir program.
Melalui program ini, para peserta diberikan bimbingan berkaitan adaptasi kehidupan di universiti, pendedahan terhadap ciri-ciri kepimpinan yang berkesan serta pendekatan memahami orang lain bagi mengurangkan konflik dalam perhubungan.



Penekanan terhadap kepentingan common sense yang sering diabaikan dalam era teknologi turut diketengahkan bagi membentuk mahasiswa yang lebih peka, bertanggungjawab dan prihatin terhadap situasi serta individu di sekeliling mereka.
Penganjuran Program L.E.A.P diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kepimpinan yang berintegriti, nilai empati yang tinggi serta daya tahan dalam mendepani cabaran masa hadapan, selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.

