Oleh: Noor Syaibah Shabuddin
TANJONG MALIM, 20 Mei 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) telah berjaya menganjurkan Program Akal dan Nafsu; Kawal Diri, Jaga Maruah di Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Program yang bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang itu menghimpunkan pelajar UPSI khususnya bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengawal diri, menjaga batas pergaulan serta mempertahankan maruah diri dalam kehidupan di kampus.
Antara objektif program adalah memberi pendedahan dan panduan praktikal kepada peserta mengenai kepentingan mengawal akal dan nafsu, membentuk tingkah laku asertif bagi mengelakkan pengaruh negatif di persekitaran pembelajaran serta melahirkan generasi belia yang bebas daripada gejala sosial sebagai persediaan menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan.



Program turut menampilkan Saudari Siti Norfarhira binti Norhisham atau lebih dikenali sebagai Sis Far, pengendali slot radio Zayan FM, sebagai panel jemputan. Sesi perkongsian yang dikendalikan secara santai dengan moderator, Saudara Redzmin bin Mohamed, berjaya menarik perhatian peserta melalui perkongsian pengalaman dan pandangan mengenai kepentingan mengimbangi akal dan nafsu dalam membuat keputusan serta membina sahsiah diri yang positif.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee yang menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada panel jemputan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan perkongsian ilmu sepanjang program berlangsung.
Program kolaborasi bersama Pusat Alumni UPSI ini memberi impak positif khususnya kepada pelajar baharu yang sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus. Melalui perkongsian yang disampaikan, peserta didedahkan dengan kepentingan memilih rakan yang baik, mengawal diri daripada pengaruh negatif serta membentuk kesejahteraan diri dari aspek fizikal, emosi dan mental.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang telah dirancang serta diharapkan dapat melahirkan mahasiswa UPSI yang berakhlak, berdaya tahan dan mampu membuat keputusan secara bijaksana dalam menghadapi cabaran kehidupan di kampus.

