Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid
TANJONG MALIM, 4 Julai 2026 – Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Test Anxiety Series 2 bertempat di Bilik Seminar BHEPA, Aras 1, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dengan penyertaan seramai 30 orang pelajar diploma yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester.
Program ini bertujuan memperkasakan kemahiran pelajar dalam mengurus kebimbangan peperiksaan (test anxiety) melalui pendekatan psikologi yang praktikal dan berasaskan bukti. Selain meningkatkan kesedaran terhadap kesan pemikiran negatif terhadap prestasi akademik, program ini turut memberi pendedahan kepada strategi pengurusan emosi dan teknik pemikiran yang boleh diaplikasikan sebelum serta semasa peperiksaan.
Program telah dikendalikan oleh En. Muhammad Syamim Aiman Bin Abd Hamid, Pegawai Tadbir N9 (Kaunseling), Pusat Kaunseling UPSI, yang berkongsi pelbagai strategi berasaskan pendekatan Cognitive Behavioral Therapy (CBT) bagi membantu pelajar mengenal pasti dan mengurus corak pemikiran negatif yang sering mencetuskan kebimbangan ketika menghadapi peperiksaan.



Sepanjang program berlangsung, peserta diperkenalkan dengan konsep Thought Attack vs Thought Replace, iaitu pendekatan yang membantu pelajar mengenal pasti pemikiran negatif automatik (automatic negative thoughts) sebelum menggantikannya dengan pemikiran yang lebih rasional, seimbang dan berasaskan bukti. Pendekatan ini membantu peserta memahami bahawa tidak semua perkara yang difikirkan adalah fakta, sebaliknya sesetengah pemikiran hanyalah andaian yang boleh meningkatkan kebimbangan.
Bagi mengukuhkan pemahaman peserta, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk Fact vs Assumption (Fakta atau Andaian) yang melatih pelajar membezakan antara pemikiran yang disokong oleh fakta dengan andaian yang boleh meningkatkan keresahan. Selain itu, aktiviti Cognitive Scene Investigation (CSI) turut dilaksanakan, di mana peserta bertindak sebagai “detektif pemikiran” untuk menganalisis situasi berkaitan peperiksaan, mengenal pasti corak pemikiran negatif, menilai bukti yang ada serta membina alternatif pemikiran yang lebih realistik dan membantu.
Peserta turut diperkenalkan dengan teknik S.T.O.P. (Stop, Take a Deep Breath, Observe, Pick a Helpful Thought) sebagai strategi pantas untuk mengurus emosi, meningkatkan fokus dan membuat keputusan dengan lebih tenang ketika berhadapan situasi yang mencetuskan tekanan, khususnya semasa peperiksaan. Sesi ini disertai dengan latihan praktikal yang membolehkan peserta mengaplikasikan teknik tersebut secara langsung dalam simulasi situasi peperiksaan.
Program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan melalui penglibatan aktif peserta dalam setiap sesi ceramah, perbincangan dan aktiviti berkumpulan. Maklum balas yang diterima menunjukkan peserta lebih memahami hubungan antara pemikiran, emosi dan tingkah laku, di samping memperoleh kemahiran praktikal untuk mengurus kebimbangan peperiksaan dengan lebih berkesan.


Pusat Kaunseling UPSI berharap program seperti ini dapat terus menjadi platform dalam memperkukuh kesejahteraan psikologi pelajar, meningkatkan daya tahan diri serta melahirkan mahasiswa yang lebih yakin, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran akademik. Pusat Kaunseling turut merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah menjayakan Program Test Anxiety Series 2 dan berharap ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat terus diamalkan dalam kehidupan akademik serta menjadi bekalan menghadapi cabaran pada masa hadapan.

