oleh Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib

TANJONG MALIM, 26 Oktober 2026 – Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan delegasi akademik antarabangsa dari Sarsen Amanzholov East Kazakhstan University dan Abai Kazakh National Pedagogical University, Kazakhstan, bagi memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi.

Kunjungan ini bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan akademik, penerbitan ilmiah serta perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang geografi dan kajian alam sekitar.

Delegasi Kazakhstan yang diwakili oleh G. E. Sadykanova, S. Kumarbekuly dan A. E. Yessimbekova turut berkongsi dapatan penyelidikan menerusi Projek Penyelidikan AP23489325.

Sesi perkongsian tersebut mengetengahkan hasil kajian berkaitan pemantauan alam sekitar, kesihatan persekitaran serta penilaian risiko kesihatan penduduk. Selain perkongsian hasil penyelidikan, sesi perbincangan akademik turut diadakan bersama Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Profesor Madya Dr. Hanifah Mahat serta ahli akademik jabatan berkenaan.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi pelaksanaan projek penyelidikan bersama, permohonan geran penyelidikan antarabangsa, penerbitan ilmiah secara kolaboratif serta pertukaran ilmu dan kepakaran antara institusi yang terlibat.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperluas jaringan pengantarabangsaan universiti melalui kerjasama akademik dan penyelidikan rentas negara.

Diharapkan hubungan yang terjalin dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan yang mampan, meningkatkan perkongsian ilmu serta memperkukuh kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi yang aktif dalam jaringan akademik antarabangsa.