Taklimat pengenalan program dari Prof Dr Bahbibi

LUMUT – Kira-kira 100 kanak-kanak prasekolah di sekitar Lumut dan Manjung menyertai Program STI Madani MOSTI 2025 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memupuk minat terhadap sains, teknologi dan inovasi (STI) sejak usia awal.

Program anjuran Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI itu berlangsung di Dewan Masjid Jamek Al-Ikhwan, Desa Manjung Raya, dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lumut serta pengusaha Tadika Little Caliphs dan Tadika PASTI.

Ahli Parlimen Lumut Komander (B) Nordin Ahmad Ismail berkata pendedahan kepada sains dan teknologi sejak peringkat prasekolah penting bagi membina asas kepada perkembangan generasi yang mampu meneroka bidang sains, kejuruteraan dan inovasi pada masa hadapan.

“Hari ini kita lihat sendiri bagaimana anak-anak kecil kita begitu teruja apabila lukisan mereka bergerak di skrin dan mereka dapat membina sesuatu dengan tangan sendiri. Inilah benih kepada generasi saintis, jurutera dan pereka inovasi masa depan negara,” katanya.

Ketua Projek Prof. Dr. Bahbibi Rahmatullah berkata pembelajaran secara bermain dan pengalaman praktikal dapat membantu kanak-kanak memahami konsep sains dan teknologi dengan lebih mudah, selain merangsang rasa ingin tahu mereka.

Program itu dikendalikan pensyarah FKMT diketuai Bahbibi bersama Dr. Noorhidayah Che Lah, dengan bantuan mahasiswa fakulti berkenaan sebagai fasilitator.

Antara aktiviti utama ialah penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR), yang membolehkan kanak-kanak mewarnakan lembaran bergambar sebelum mengimbasnya menggunakan tablet untuk melihat lukisan berkenaan muncul sebagai objek tiga dimensi (3D) bergerak.

Peserta turut menyertai aktiviti STEM Clay dengan menggunakan tanah liat kering udara dan batang kayu bagi membina bentuk geometri serta struktur seperti menara, sekali gus memperkenalkan konsep asas kestabilan binaan.

Kanak-kanak mewarna lembaran aktiviti Augmented Reality (AR) dengan bimbingan guru dan fasilitator
Lukisan peserta ‘dihidupkan’ dalam bentuk 3D menggunakan aplikasi AR pada tablet
Suasana program di Dewan Masjid Jamek Al-Ikhwan, Desa Manjung Raya

Program yang turut melibatkan guru dan ibu bapa itu memberi peluang kepada peserta menjalani aktiviti secara bergilir-gilir di dua stesen pembelajaran selama kira-kira satu jam setengah.

UPSI merupakan rakan kolaborasi rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi Program STI Madani 2025 dan diberi tanggungjawab melaksanakan program berkenaan di lapan kawasan Parlimen di Perak, termasuk Lumut.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan literasi STI dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti setempat, selain memperkukuh kerjasama antara universiti, kementerian dan masyarakat.