oleh : Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, Muhammad Basiq Badrol Hisham, Ahmad Azam Abdul Somad, Muhammad Zaim Syahmi Badrul Hisham
KALUMPANG, SELANGOR – Misi pendidikan kelestarian alam sekitar oleh pasukan Kami Sahabat Sungai diteruskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalumpang menerusi program “Sampah!!! Jangan Risau, Kita Tukar kepada Kompos”, yang memberi peluang kepada murid meneroka sendiri potensi sisa organik untuk dijadikan bahan kompos melalui kaedah Bokashi.
Program ini melibatkan penyertaan murid-murid daripada Persatuan STEM SK Kalumpang, guru-guru, fasilitator dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Berbeza daripada pendekatan pembelajaran secara konvensional, program ini memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran secara amali (hands-on learning) apabila murid dibimbing untuk menghasilkan Bokashi menggunakan bahan dan peralatan yang bersesuaian. Mereka didedahkan kepada proses mengenal pasti dan menyediakan bahan, menyukat kuantiti mengikut keperluan, serta menggunakan peralatan yang memanfaatkan bahan kitar semula dalam aktiviti pengkomposan.
Lebih menarik, murid bukan sekadar memerhatikan demonstrasi yang dijalankan oleh fasilitator, malah diberi peluang melaksanakan sendiri setiap langkah penyediaan Bokashi sehingga berjaya menghasilkan produk kompos mereka sendiri. Pengalaman ini memberi pendedahan secara langsung tentang bagaimana sisa organik yang lazimnya dibuang boleh diproses dan dimanfaatkan semula.
Aktiviti ini turut mengintegrasikan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kemahiran menyukat, mengenal pasti bahan, memahami proses penguraian serta mengaplikasikan penggunaan semula peralatan dalam penyelesaian masalah berkaitan pengurusan sisa. Pendekatan ini secara tidak langsung menggalakkan pemikiran kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah dan kesedaran terhadap penggunaan sumber secara lestari.



Kerjasama antara UPSI, MPHS dan warga SK Kalumpang memperlihatkan kepentingan jaringan strategik dalam memperluas pendidikan alam sekitar kepada komuniti sekolah. Usaha ini juga menjadi sebahagian daripada komitmen Kami Sahabat Sungai untuk membudayakan amalan pengurangan sisa, penggunaan semula sumber dan penjagaan alam sekitar bermula dari peringkat sekolah.
Melalui pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman ini, murid diharapkan bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah mampu membawa amalan pengurusan sisa organik ke rumah dan komuniti masing-masing.

