Oleh: Nuryee Sin Giap Abdullah Ibrahim Giap

TANJONG MALIM, 27 Oktober 2026 — Pentas demokrasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diteruskan lagi dengan penganjuran Hari Rapat Umum dan Rapat Umum Mega Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027, yang menjadi medan utama buat para calon memperkenalkan diri serta membentangkan manifesto masing-masing kepada seluruh warga kampus.

Hari Rapat Umum berkenaan telah berlangsung selama empat hari, iaitu dari 23 hingga 26 Oktober 2026, bertempat di empat lokasi iaitu Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kolej Za’ba (KZ), dan Bitarasiswa Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS). Seramai 45 orang calon MPP yang bertanding bagi Kerusi Umum, Kerusi Fakulti, dan Kerusi Etnik telah memanfaatkan ruang ini untuk menyampaikan aspirasi mereka, dengan kawalan dan pengurusan kelancaran program yang rapi oleh ahli Campus Election Organization (CEO) UPSI.

Kemuncak kepada sesi berkempen ini diteruskan menerusi penganjuran Rapat Umum Mega pada 27 Oktober 2026, yang mementaskan perhimpunan buat kesemua calon menyampaikan pembentangan akhir. Acara dimulakan dengan perarakan konvoi calon-calon MPP yang bermula di Padang Kawad, melalui kolej-kolej kediaman iaitu Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Kolej Za’ba (KZ), Kolej Aminuddin Baki (KAB) dan berakhir di Pentas Tapak Pesta KAB.

Sepanjang rapat umum berlangsung, setiap calon telah membentangkan manifesto masing-masing dengan penuh keyakinan serta mengetengahkan pelbagai isu berkaitan kebajikan mahasiswa, kemudahan kampus dan pembangunan pelajar. Suasana rapat umum turut diserikan dengan sokongan daripada mahasiswa yang hadir, sekali gus menyemarakkan semangat demokrasi dalam kalangan warga UPSI.

Penganjuran Hari Rapat Umum ini bukan sahaja memberi peluang kepada calon untuk berkongsi aspirasi, malah meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang kepentingan memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa. Diharapkan agar pilihan raya kampus ini dapat memupuk semangat kepimpinan, perpaduan dan tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Dengan berakhirnya Rapat Umum Mega malam ini, debaran kini terarah kepada Hari Pengundian Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2026/2027 yang bakal berlangsung pada 28 Oktober 2026. Sehubungan dengan itu, seluruh mahasiswa dan mahasiswi UPSI diseru untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan membuat pilihan yang bijak berdasarkan manifesto yang telah dibentangkan demi melahirkan barisan kepimpinan yang mampu membawa aspirasi warga kampus.