Oleh: Joanne Wong Xin Ce
TANJONG MALIM, 8 Oktober 2026— Campus Election Organization (CEO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasminya telah melabuhkan tirai fasa Penjualan Borang Pencalonan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027 petang ini, menandakan selesainya langkah awal bagi mahasiswa yang berhasrat menawarkan diri sebagai barisan kepimpinan perwakilan pelajar kampus.
Urusan penjualan borang tersebut telah berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 Oktober 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Bilik Seminar Rafflesia, Aras 1, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI. Kerusi yang dipertandingkan bagi Pemilihan MPP Sidang 2026/2027 merangkumi 33 kerusi, iaitu 6 kerusi wakil umum, 2 kerusi bagi setiap fakulti melibatkan 11 fakulti, serta wakil etnik Cina, India, Sabah dan Sarawak serta seorang wakil OKU.
Sejurus tamat tempoh penjualan borang pada jam 5.00 petang, semua calon yang telah mendapatkan borang pencalonan diwajibkan menghadiri Bengkel Tatacara dan Etika Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan kepada calon mengenai tatacara dan etika pemilihan yang perlu dipatuhi. Kegagalan menghadiri bengkel tersebut akan menyebabkan pencalonan dibatalkan secara automatik.



Dengan berakhirnya fasa penjualan borang empat hari ini, tumpuan seluruh warga kampus kini terarah kepada fasa seterusnya dalam kalendar Pemilihan MPP Sidang 2026/2027, terutamanya fasa penyerahan borang dan Hari Penamaan Calon yang bakal menyaksikan kemunculan barisan pelapis pemimpin mahasiswa UPSI.
