oleh Felicity John
TANJONG MALIM, 4 oktober 2026 – Seramai 2,222 peserta menyertai Millenia Flavour Splash Fun Run 2026 yang berlangsung di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 4 Okt lepas.
Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI itu menampilkan larian santai sejauh lima kilometer yang menggabungkan elemen kecergasan, rekreasi dan hiburan, selain menghimpunkan warga universiti serta komuniti setempat.
Yang Dipertua MPP UPSI, Muhammad Luqman Nurhakim Zulikhsyam berkata penganjuran program berkenaan merupakan inisiatif untuk menggalakkan warga universiti mengamalkan gaya hidup sihat dalam suasana santai dan menyeronokkan.
“Saya berharap program seperti ini dapat terus dilaksanakan kerana bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan, malah mampu mengeratkan hubungan dan membina semangat kebersamaan dalam kalangan warga UPSI.
“Larian ini bukan sekadar tentang siapa yang sampai dahulu, tetapi tentang pengalaman, keseronokan dan kenangan yang dicipta bersama sepanjang perjalanan,” katanya.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum peserta memulakan larian lima kilometer melalui laluan yang ditetapkan.
Beberapa pusat pemeriksaan disediakan sepanjang laluan dengan kemudahan makanan dan minuman, manakala aktiviti semburan serbuk warna atau colour powder turut menjadi antara tarikan utama program.
Konsep berkenaan memberi kelainan kepada peserta dengan menggabungkan aktiviti fizikal dan hiburan, selain mewujudkan suasana interaktif dan santai sepanjang larian.



Peserta turut menerima manfaat mengikut pakej penyertaan masing-masing termasuk jersi, medal, sarapan, sijil penyertaan, makanan dan minuman di pusat pemeriksaan serta aktiviti colour powder.
Penganjuran program itu turut menjadi platform interaksi antara warga UPSI dan komuniti setempat, sekali gus memupuk semangat kebersamaan, persahabatan dan kekitaan menerusi aktiviti rekreasi.

