Oleh : Izani Hazima

TANJONG MALIM, 28 Oktober 2026 — Sistem Undian Dalam Talian bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2026/2027 dibuka secara rasmi dalam satu majlis yang menandakan bermulanya proses demokrasi kampus bagi memilih barisan kepimpinan mahasiswa yang baharu. Pembukaan sistem ini menjadi permulaan kepada Hari Pemilihan MPP UPSI Sidang 2026/2027, sekali gus membuka ruang kepada seluruh mahasiswa untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dalam menentukan wakil yang bakal membawa suara, aspirasi serta kepentingan mahasiswa.

Majlis pembukaan sistem undian ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI , Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff. Majlis tersebut turut dihadiri oleh  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun ,Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Puan Maskana Ahmad, serta En. Mohamad Najib bin Mohamed , Ketua Bendahari UPSI

Pemilihan MPP bukan sekadar proses pengundian untuk menentukan barisan kepimpinan mahasiswa, malah merupakan wadah yang mencerminkan penglibatan mahasiswa dalam membentuk landskap kepimpinan kampus. Setiap undi yang diberikan membawa nilai tersendiri kerana menjadi manifestasi kepercayaan mahasiswa terhadap calon yang dipilih untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai wakil mereka.

Seiring dengan pembukaan sistem undian dalam talian, Hari Pemilihan MPP UPSI Sidang 2026/2027 turut bermula dengan penyediaan kemudahan pengundian secara fizikal di beberapa lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak Campus Election Organization (CEO). Inisiatif ini memberikan pilihan kepada mahasiswa untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi melalui kemudahan yang disediakan, di samping memastikan proses pemilihan dapat dijalankan dengan teratur dan mudah diakses.

Pelaksanaan pengundian melalui saluran dalam talian dan fizikal ini memperlihatkan usaha menyediakan kemudahan kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam proses pemilihan. Walau bagaimanapun, kemudahan tersebut perlu disertai kesedaran bahawa setiap undi mempunyai nilai dan implikasi terhadap hala tuju kepimpinan mahasiswa bagi Sidang 2026/2027.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang menghargai keterlibatan mahasiswa, pemilihan ini juga menjadi saluran penting bagi menghubungkan suara mahasiswa dengan pihak universiti. Mandat yang diberikan melalui undi akan menjadi asas kepada barisan kepimpinan mahasiswa untuk membawa aspirasi serta kepentingan rakan-rakan mereka sepanjang sidang yang bakal berlangsung.

Justeru, seluruh mahasiswa UPSI diseru untuk mengambil bahagian dalam Pemilihan MPP Sidang 2026/2027 dengan membuat pilihan secara bijak, matang dan bertanggungjawab. Setiap mahasiswa mempunyai peranan dalam menentukan barisan kepimpinan yang diyakini mampu membawa aspirasi mahasiswa ke arah yang lebih baik.

Satu undi mungkin kelihatan kecil, namun apabila dihimpunkan bersama ribuan suara mahasiswa, ia mampu membentuk sebuah mandat dan menentukan arah kepimpinan kampus. Dari pembukaan sistem undian hingga berlangsungnya Hari Pemilihan, mahasiswa bukan sekadar memilih wakil, tetapi turut menjadi sebahagian daripada perjalanan demokrasi dan masa depan kepimpinan mahasiswa UPSI.