Oleh: Nursafiah Balqis
TANJONG MALIM, 31 Oktober 2026 – Komitmen memperluas jaringan kepimpinan mahasiswa merentasi institusi pengajian tinggi terus diperkasakan menerusi penganjuran Youth Catalyst Leadersphere 4.0: UPSI × UKM Summit, hasil kolaborasi antara Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Kelab Iqra’ KUO, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berlangsung di UPSI, program ini merupakan sebahagian daripada pengisian misi Jejak Abid 2.0 oleh Kelab Iqra’ KUO UKM ke negeri Perak, dengan menghimpunkan seramai 62 orang peserta, melibatkan 30 orang wakil MMK KUO UPSI serta 32 orang delegasi Kelab Iqra’ KUO UKM yang terdiri daripada 30 orang jawatankuasa, seorang Majlis Eksekutif Pelajar dan seorang Felo Penasihat.
Keunikan inisiatif Youth Catalyst Leadersphere terletak pada pendekatan kolaborasinya yang menghimpunkan universiti rakan strategik yang berbeza bagi setiap edisi. Pendekatan ini bukan sahaja memperluas cakupan jaringan kepimpinan mahasiswa, malah mewujudkan ekosistem perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik yang merentasi sempadan institusi.
Memasuki edisi keempat, kesinambungan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KUO dalam menyediakan platform pembangunan kepimpinan yang dinamik, progresif dan berorientasikan jaringan nasional.
Pertemuan dua organisasi mahasiswa ini turut menyediakan ruang strategik untuk pertukaran perspektif, percambahan idea serta perkongsian pengalaman dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan agenda pembangunan mahasiswa.
Interaksi rentas universiti sedemikian berupaya menyemai keterbukaan minda, memperkukuh kemahiran komunikasi dan kolaborasi serta membina keyakinan mahasiswa untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan dalam persekitaran yang lebih luas dan mencabar.
Bukan medan jaringan biasa, Youth Catalyst Leadersphere 4.0 turut mengangkat aspirasi pembentukan pemimpin mahasiswa yang berwawasan, berintegriti dan berteraskan nilai.
Penerapan adab, akhlak, jati diri serta semangat kebersamaan menjadi elemen penting dalam membentuk kepimpinan holistik yang bukan sahaja berkeupayaan mengurus organisasi secara berkesan, malah memiliki kepekaan terhadap tanggungjawab sosial dan kesejahteraan masyarakat.



Sinergi antara MMK KUO UPSI dengan Kelab Iqra’ KUO UKM ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan kerjasama yang lebih mampan serta membuka ruang kepada penerokaan kolaborasi baharu pada masa hadapan.
Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan bahawa kolej kediaman dan organisasi mahasiswa mempunyai peranan signifikan sebagai wahana pembangunan bakat, pembudayaan kepimpinan serta pembinaan generasi pemimpin masa hadapan.
Youth Catalyst Leadersphere 4.0 bukan sekadar meneruskan kesinambungan penganjuran terdahulu, bahkan memperkukuh sebuah legasi yang berteraskan perkongsian, kesepaduan dan pemerkasaan mahasiswa. Melalui semangat UPSI × UKM, inisiatif ini membawa aspirasi bahawa kepimpinan unggul tidak terbina secara bersendirian, sebaliknya berkembang melalui jaringan, kolaborasi dan kesediaan untuk saling memperkasa demi melahirkan generasi pemimpin yang berilmu, berakhlak dan mampu memberikan impak bermakna kepada universiti, masyarakat dan negara.

