Oleh: Nur Hijanah Nordin, Muhammad Aiman Mohamed Izudin dan Encik Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari
ALOR GAJAH, 31 Oktober 2026 – Mahasiswa Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Farah binti Mohd Nor, berjaya meraih gelaran Johan Kalam Daie Intervarsiti 2026 kategori Perempuan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 sempena Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), Melaka.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan Farah dalam menyampaikan mesej dakwah secara berkesan, malah mengharumkan nama UPSI di peringkat intervarsiti. Farah yang merupakan mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Tahfiz Al-Quran dan Qiraat semester 7 turut menjadi wakil UPSI dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan Kalam Daie berlangsung pada hari kedua mahrajan yang diadakan selama tiga hari, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026. Pertandingan ini menghimpunkan peserta daripada institusi pengajian tinggi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi mencungkil bakat serta memperkasa kemahiran komunikasi dalam kalangan generasi pendakwah muda.



Selain menguji kebolehan peserta menyampaikan mesej dakwah secara kreatif dan berkesan, pertandingan ini turut menjadi platform untuk membina keyakinan diri, keberanian dan keterampilan berucap di hadapan khalayak.
Kejayaan ini pastinya menjadi satu kebanggaan buat seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya keluarga besar i-FURQAN. Penyertaan dalam pertandingan yang menghimpunkan mahasiswa di pelbagai universiti ini bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi ruang untuk menampilkan bakat, mengasah keyakinan serta menyampaikan mesej dakwah dengan pendekatan yang kreatif dan berkesan. Mahasiswa Tahfiz Qiraat bukan hanya dididik untuk menguasai hafazan dan ilmu al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran menyampaikan ilmu, membina keyakinan dan memikul amanah dakwah. Kejayaan ini membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari mampu diterjemahkan melalui tindakan dan sumbangan bermakna kepada masyarakat.
