Majlis perasmian Program Saringan Alergi UPSI yang disempurnakan oleh Prof. Dr Faizal Nizam Lee Abdullah, Dekan FSM

Oleh: Prof. Dr Rosmilah Misnan

TANJUNG MALIM, 5 November 2026 – Seramai 400 peserta menjalani ujian cucuk kulit (Skin Prick Test, SPT) secara percuma menerusi Program Saringan Alergi UPSI 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 5 November 2026 di Bahagian Kecemasan, Pusat Kesihatan UPSI (PKU), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Dapatan awal saringan menunjukkan majoriti peserta memberikan reaksi positif terhadap alergen hama habuk rumah, khususnya Dermatophagoides pteronyssinus dan Blomia tropicalis. Pemekaan terhadap alergen makanan laut, terutama udang dan ketam, turut dikenal pasti agak tinggi, manakala alergen lipas juga mencatat kekerapan reaksi positif yang agak signifikan.

Program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti dan komuniti Muallim terhadap penyakit alergi di samping memberi peluang kepada peserta mengenal pasti pemekaan terhadap alergen tertentu melalui kaedah saringan yang cepat dan mudah.

Majlis perasmian yang berlangsung pada 2 November 2026 telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, di Bilik Mesyuarat PKU, KSAS.

Menurut beliau, program tersebut mencerminkan peranan universiti dalam memastikan kepakaran akademik dan penyelidikan dapat dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

“Kejayaan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik dan penerbitan penyelidikan, tetapi juga sejauh mana ilmu dan kepakaran yang dimiliki mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Program seperti ini membuktikan bahawa kerjasama antara universiti dan agensi luar dapat menghasilkan impak yang bermakna.”

Pengarah Program merangkap Ketua Penyelidik, Profesor Dr. Rosmilah Misnan, berkata sambutan menggalakkan yang diterima menunjukkan keperluan terhadap perkhidmatan saringan alergi yang lebih mudah diakses.

Beliau menjelaskan bahawa dapatan awal turut memperlihatkan corak pemekaan terhadap alergen persekitaran dan makanan dalam kalangan peserta.

“Hama habuk rumah (house dust mites) dikenal pasti sebagai antara alergen utama dalam saringan ini, diikuti pemekaan terhadap beberapa alergen makanan laut bercengkerang (shellfish) dan lipas. Dapatan ini memberi gambaran awal tentang corak pemekaan alergen dalam kalangan peserta dan boleh menjadi asas kepada kajian lanjut yang lebih menyeluruh.”

Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan SPT positif menunjukkan pemekaan terhadap sesuatu alergen dan tidak semestinya mengesahkan alergi klinikal tanpa penilaian lanjut.

Sebahagian pasukan petugas jemputan Program Saringan Alergi dari Institut Penyelidikan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara bergambar bersama rakan industri dari Biomed Global Sdn Bhd.
Dr Masita Arip (Kanan) sedang menjalankan Ujian SPT kepada Profesor Dr. Mohd Izwan bin Shahril sambil diperhatikan oleh Prof Dr Rosmilah Misnan
Pengarah RMIC, Profesor Madya Dr. Lena Farida Husain Chin berpeluang meninjau program saringan Alergi UPSI

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UPSI, Profesor Madya Dr. Lena Farida Husain Chin, berkata penganjuran program ini selari dengan agenda RDICE (Research, Development, Innovation, Commercialisation and Economy) universiti.

“Melalui agenda RDICE, kita mahu penyelidikan berkembang melangkaui penerbitan ilmiah kepada inovasi yang berpotensi dikomersialkan dan memberi nilai kepada masyarakat. Kerjasama strategik seperti ini juga membuka peluang kepada pembangunan teknologi diagnostik alergi yang boleh dimanfaatkan secara lebih meluas pada masa hadapan.”

Program ini dilaksanakan melalui Geran Program Padanan Industri (IMaP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan kerjasama Centre of Biodiversity and Conservation (CeBEC), FSM, PKU, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH) serta rakan industri, Biomed Global Sdn. Bhd.

Pengarah PKU, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak, berkata pihaknya memberikan sokongan dari segi kemudahan, penyelarasan perkhidmatan kesihatan dan aspek keselamatan sepanjang pelaksanaan program.

“Keutamaan kami adalah memastikan proses saringan berjalan dengan teratur, selamat dan selesa untuk semua peserta. Kerjasama rapat antara PKU dengan pasukan pakar membolehkan program ini dilaksanakan dengan lebih berkesan.”

Dalam pada itu, Dr. Masita Arip, Ketua Petugas Jemputan dan mantan Ketua Pusat Penyelidikan Alergi dan Imunologi (AIRC), IMR, menekankan kepentingan interpretasi keputusan ujian yang tepat.

“Ujian cucuk kulit merupakan kaedah yang cepat untuk mengenal pasti pemekaan terhadap alergen tertentu. Namun, keputusan positif perlu dinilai bersama sejarah gejala dan pemeriksaan klinikal sebelum sesuatu alergi dapat disahkan. Penilaian yang tepat penting bagi memastikan peserta menerima nasihat kesihatan yang bersesuaian.”

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada peserta.

Profesor Dr. Mohd Izwan bin Shahril, yang turut menjalani saringan, menyifatkan program tersebut sebagai peluang untuk meningkatkan kefahaman tentang kesihatan diri.

“Sebelum ini, kita mungkin hanya mengaitkan gejala tertentu dengan alahan tanpa mengetahui pencetus sebenar. Melalui saringan ini, peserta mendapat pendedahan yang lebih jelas dan boleh mengambil langkah susulan yang sesuai.”

Seorang lagi peserta, Profesor Dr Ahmad Jazimin Jusoh, menghargai kemudahan menjalani ujian SPT secara percuma di dalam kampus.

“Program seperti ini sangat memudahkan warga universiti kerana pemeriksaan dapat dilakukan tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan di luar kampus. Saya berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluas kepada lebih ramai peserta.”

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, ujian SPT dikendalikan oleh pasukan petugas daripada IMR, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), NIH dengan sokongan PKU serta urus setia UPSI.

Penganjuran program ini memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi penyelidikan, perkhidmatan kesihatan dan industri, sekali gus menyokong usaha UPSI memperluas impak penyelidikan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit alergi.