Barisan penganjur, warga SMK Proton City, fasilitator dan peserta merakamkan kenangan bersama pada majlis penutupan program.

Oleh: Nur Dahliah Dalin

TANJONG MALIM, 29 Oktober 2026 – Pelajar SMK Proton City meneroka bahasa dan budaya asing menerusi Knowledge Transfer Programme (KTP) 2026: Speak & Explore – A Fun Gateway to Foreign Languages yang menggabungkan pembelajaran interaktif dengan teknologi digital.

Program anjuran Unit Bahasa Asia dan Eropah, Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Bahasa Jepun UPSI.

Sesi pemindahan ilmu kepada pelajar dikendalikan oleh fasilitator dengan pemantauan Dr. Ariza Abdullah bagi bahasa Arab, Puan Norhana binti Md Salleh bagi bahasa Jepun serta Puan Afiqah Sabariah Khalidar dan Puan Nur Akmal Othman bagi bahasa Mandarin. Sebelum pelaksanaan di sekolah, fasilitator turut menerima bimbingan pedagogi daripada Dr. Mariyati binti Mohd Nor sebagai persediaan mengendalikan aktiviti pembelajaran.

Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 petang itu menampilkan dua slot utama, iaitu “Speak & Explore – Basic Greetings & Expressions” dan “Digital & Interactive Language Station”, yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang sapaan serta ungkapan asas bahasa asing melalui permainan bahasa dan lakonan situasi.

Pelaksanaan di sekolah ini melengkapkan tiga fasa pemindahan ilmu daripada pakar kepada pensyarah dan guru bahasa, seterusnya kepada fasilitator sebelum disampaikan kepada pelajar. Pendekatan tersebut menggabungkan kepakaran bahasa dengan pembelajaran digital bagi meningkatkan minat dan keyakinan peserta. Penglibatan mahasiswa UPSI sebagai fasilitator memperkukuh pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah serta memberi pengalaman mengaplikasikan pengetahuan bahasa.

Fasilitator membimbing pelajar dalam permainan lipatan kertas untuk mengukuhkan penguasaan ungkapan bahasa Mandarin di bawah pemantauan Puan Nur Akmal Othman.
Pelajar berlatih menuturkan ungkapan bahasa Mandarin dengan bimbingan fasilitator di bawah pemantauan Puan Afiqah Sabariah Khalidar.
Profesor Madya Dr. Mazlin binti Mohamed Mokhtar menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Pengetua SMK Proton City, Encik Zain Khairull bin Sidek, diiringi Pengarah Program, Puan Norhana binti Md Salleh.

Menurut Pengarah Program, Puan Norhana binti Md Salleh, program itu bertujuan meningkatkan minat dan motivasi terhadap pembelajaran bahasa asing serta mengembangkan kemahiran komunikasi, kreativiti, kerja berpasukan dan literasi digital melalui pendekatan berpusatkan pelajar yang menggalakkan peserta menggunakan ungkapan baharu dan berinteraksi sesama rakan dalam aktiviti pembelajaran..

Penghargaan turut dirakamkan kepada pihak SMK Proton City, khususnya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Wan Zaiton binti Wan Hamzah, atas kerjasama menjayakan program, manakala majlis penutupannya dirasmikan oleh Pengetua, Encik Zain Khairull bin Sidek.

Penganjuran ini memperlihatkan peranan UPSI dalam memperluas akses pembelajaran bahasa asing kepada komuniti sekolah. Melalui kerjasama dengan SMK Proton City, kepakaran tenaga pengajar dan penglibatan mahasiswa diterjemahkan kepada pengalaman pembelajaran yang membolehkan pelajar mencuba bahasa baharu serta mengenali budaya penuturnya.