Bersama DJ Erwan (kiri) dan DJ Pyan aka Sufian Saujana (kanan).

TANJONG MALIM, 7 November 2026 – Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga penyanyi nasyid, Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan atau lebih dikenali sebagai Dr Abdul, tampil sebagai ‘Artis Minggu Ini’ menerusi slot Carta IKIMfm bagi mempromosikan single solo terbaharunya berjudul Cahaya Cinta Sejati.

Beliau yang ditemu bual penyampai radio Erwan Johari dalam siaran langsung pada 11 pagi tadi berkongsi inspirasi di sebalik penghasilan lagu berkenaan yang mengangkat tema kecintaan kepada Allah SWT sebagai asas hubungan dan kehidupan manusia.

Dr Abdul berkata keistimewaan lagu itu terletak pada bahagian korus yang diadaptasi daripada doa yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, yang memohon agar dikurniakan cinta kepada Allah serta amalan yang membawa kepada kecintaan-Nya.

Lagu bergenre balada rohani kontemporari itu menggunakan susunan muzik berteraskan orkestrasi lembut dan bernuansa munajat bagi menyampaikan mesej kerohanian dalam pendekatan muzik yang sesuai dengan pendengar radio.

Suasana di dalam konti sebelum bermula Carta IKIMfm

Dalam sesi berkenaan, beliau turut berkongsi pengalaman mengimbangi tanggungjawab sebagai ahli akademik di UPSI dengan aktiviti seni dan dakwah menerusi muzik.

Penghasilan Cahaya Cinta Sejati turut melibatkan penyertaan kanak-kanak dan pelajar UPSI sebagai sebahagian daripada usaha mengetengahkan mesej keharmonian, kasih sayang dan nilai murni.

Penampilan Dr Abdul menerusi IKIMfm itu menjadi platform untuk memperkenalkan karya terbaharunya kepada masyarakat, selain memperlihatkan penglibatan warga akademik UPSI dalam menyampaikan mesej pendidikan dan kerohanian melalui bidang seni.