Oleh: En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Dr Faudzi Umar dan Dr. Rosazley Ramly.

PUTRAJAYA, 4 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Stargazers UPSI di bawah Pusat STEM UPSI menjadi satu-satunya universiti yang dijemput sebagai pempamer sempena Simposium Kebangsaan Program Duta Guru (PDG) 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 4 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.

Program anjuran Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertemakan “Membentuk Insan Inovatif: Penyelesaian Setempat Mendepani Cabaran Global” itu menghimpunkan lebih 1,000 guru dari seluruh negara bagi memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

UPSI diwakili oleh Ts. Dr. Afiq Radzwan dan En. Wan Zul bin Wan Mokhtar, pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), yang juga merupakan ahli Stargazers UPSI di bawah Pusat STEM UPSI.

Menerusi reruai pameran, Stargazers UPSI memperkenalkan pendidikan astronomi sebagai pendekatan pembelajaran STEM yang interaktif melalui penggunaan teleskop, aplikasi astronomi digital serta aktiviti pencerapan secara langsung.

Inisiatif ini selari dengan tema simposium yang menekankan kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah melalui pemanfaatan sumber setempat. Aktiviti astronomi seperti pencerapan Matahari, Bulan dan langit malam berpotensi membantu guru menghubungkan teori sains dengan pengalaman sebenar, sekali gus memupuk pemikiran kritis dan minat murid terhadap STEM.

Stargazers UPSI turut mengetengahkan program jangkauan komuniti (outreach) melalui pameran astronomi dan aktiviti pencerapan di sekolah bagi memperluas akses kepada pendidikan astronomi di luar bilik darjah.

Penyertaan ini membuka peluang kerjasama dengan warga pendidik dan sekolah, di samping memperlihatkan komitmen UPSI dalam menyumbang kepakaran akademik bagi memperkasakan pendidikan STEM negara.

Stargazers UPSI merakamkan penghargaan kepada Yayasan PETRONAS atas jemputan yang diberikan dan akan terus komited mendekatkan ilmu astronomi kepada masyarakat berteraskan slogan “Langit UPSI, Semesta Kita”..