oleh: Ts.Dr. Mohd Amirul Hussain
KUALA LANGAT, 12 November 2026 – Program Kami Sahabat Sungai 3.0: Sungai Kita, Tanggungjawab Kita anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Sekolah Kebangsaan (A) Bukit Kamandol berjaya dilaksanakan dengan lancar menerusi penglibatan aktif warga sekolah dalam usaha memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem sungai.
Program yang melibatkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 serta pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 itu berjaya mengumpulkan sebanyak 60 guni sampah plastik hasil aktiviti gotong-royong pembersihan di sekitar kawasan sekolah dan tasik yang terletak di hadapan sekolah. Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen serta penglibatan komuniti sekolah dalam menangani isu pencemaran persekitaran melalui tindakan secara langsung.
Menariknya, sampah yang dikumpulkan bukan sahaja melibatkan bahan buangan yang perlu dilupuskan, malah terdapat bahan yang berpotensi untuk diasingkan dan dimanfaatkan semula, khususnya bahan organik yang boleh diproses sebagai kompos untuk kegunaan pertanian dan landskap. Pendekatan ini secara tidak langsung memperkenalkan konsep pengurusan sisa secara lestari serta amalan ekonomi kitaran dalam kalangan peserta.
Selain aktiviti pembersihan, program turut diserikan dengan sesi ceramah pendidikan alam sekitar yang disampaikan oleh aktivis ekosistem sungai dan alam sekitar Malaysia, Encik Mohammad Haziq bin A Rahman. Sesi tersebut memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai kepentingan ekosistem sungai, ancaman pencemaran, tanggungjawab masyarakat serta peranan generasi muda dalam memelihara sumber air dan biodiversiti.
Program ini telah dirasmikan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), UPSI, Ketua Daerah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kuala Langat serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Kehadiran wakil daripada pelbagai agensi dan institusi ini memperlihatkan sokongan bersama terhadap agenda pendidikan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti setempat.



Sebagai simbolik pengukuhan jaringan kerjasama strategik antara UPSI, MPKL dan pihak sekolah, satu inisiatif penanaman pokok menerusi program “Satu Pohon Seribu Harapan” turut dilaksanakan. Penanaman pokok ini membawa mesej bahawa setiap usaha kecil yang dilaksanakan secara bersama mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta mewujudkan harapan untuk persekitaran yang lebih hijau dan sejahtera pada masa hadapan.
Penganjuran Kami Sahabat Sungai 3.0 membuktikan bahawa pendidikan alam sekitar tidak seharusnya terhad kepada pembelajaran di dalam bilik darjah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengalaman, penglibatan dan tindakan sebenar dalam komuniti. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dapat membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai kepedulian terhadap alam sekitar sejak usia persekolahan.
Melalui kerjasama berterusan antara universiti, agensi kerajaan dan institusi pendidikan, UPSI komited untuk memperluas pelaksanaan program pemindahan ilmu dan khidmat komuniti yang memberikan impak nyata kepada masyarakat, khususnya dalam usaha memelihara ekosistem sungai dan membudayakan amalan kelestarian alam sekitar.
Sungai Kita, Tanggungjawab Kita – perubahan bermula dengan tindakan bersama.

