TANJONG MALIM, – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kecemerlangan di peringkat global apabila berjaya menempatkan diri sebagai finalis dalam anugerah berprestij antarabangsa, AV Awards 2026.

Pencapaian membanggakan ini menyaksikan UPSI tercalon dalam dua kategori utama, iaitu AV Apprentice of the Year menerusi pencalonan Encik Prabu Tharmalingam, serta kategori End-User Team of the Year yang diwakili oleh Unit Sokongan Teknikal, Bahagian Teknikal & Operasi, Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT), UPSI. Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan, komitmen, serta kepakaran bakat tempatan universiti dalam mengurus dan memacu teknologi audio visual (AV) seiring piawaian industri dunia.

Malam kemuncak AV Awards 2026 telah berlangsung pada 6 November 2026 bertempat di Evolution London, United Kingdom. Acara gilang-gemilang ini bakal menghimpunkan para peneraju industri, pakar teknologi, dan organisasi terkemuka dari seluruh dunia bagi meraikan inovasi serta kecemerlangan sektor audio visual global.

Penyenaraian sebagai finalis dalam anugerah berprestij ini mencerminkan dedikasi warga kerja UPSI, khususnya pasukan sokongan teknikal dan teknologi maklumat, dalam memperkasa infrastruktur digital universiti demi menyokong ekosistem pengajaran, pembelajaran, dan operasi bertaraf dunia.

Anugerah AV (AV Awards), yang merupakan acara anugerah industri audiovisual terkemuka di United Kingdom (UK), yang menghimpunkan lebih 1,400 pemimpin dan pengamal industri dari seluruh rantai bekalan AV bagi meraikan kecemerlangan serta inovasi yang membentuk masa depan sektor audio visual.

Acara berprestij ini dianjurkan untuk memberi pengiktirafan khusus kepada individu (People), projek (Projects), pasukan (Teams), teknologi (Technologies), dan perniagaan (Businesses) yang memacu kemajuan serta menetapkan penanda aras baharu bagi kreativiti, reka bentuk, kecemerlangan, dan komitmen di seluruh industri AV.