Tanjong Malim– Dua pentas yang berbeza dan dua bidang yang hampir tidak mempunyai persamaan menjadi detik cukup bermakna buat Ts. Abdul Mueiz bin Rosli, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan merangkap Ketua Unit Aplikasi eKampus, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), apabila beliau mencatat dua pencapaian dalam bidang teknologi dan inovasi serta seni nasyid.

Dalam bidang kerjaya, Abdul Mueiz menerima Anugerah Inovasi Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Emas) menerusi Anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia 2026 bagi kategori Anugerah Pentadbir Terbilang Universiti Awam.

Pengiktirafan itu diterima bersempena Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia 2026 anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) yang berlangsung di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Muhazam bin Mansor, Pengerusi Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Pengiktirafan tersebut cukup dekat dengan perjalanan Abdul Mueiz sepanjang lebih 17 tahun berkhidmat di UPSI, khususnya dalam bidang teknologi maklumat, pembangunan sistem, inovasi dan pembaharuan perkhidmatan digital universiti.

Dalam peranannya sebagai Ketua Unit Aplikasi eKampus, beliau turut memimpin pengurusan dan pembangunan aplikasi yang menyokong keperluan perkhidmatan digital universiti, di samping menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan inovasi.

Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja terlibat dalam pembangunan pelbagai sistem dan penyelesaian digital, malah memimpin ahli pasukan dalam mengenal pasti permasalahan, mencetuskan idea, membangunkan penyelesaian serta mengetengahkan hasil inovasi dalam pelbagai pertandingan.

Antaranya menerusi kepimpinannya dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) i-RAY Pusat ICT UPSI, yang berjaya memperoleh lapan pingat emas dan tiga anugerah khas menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan inovasi.

Menurut Abdul Mueiz, kepimpinan dalam inovasi bukan sekadar menghasilkan idea, tetapi memerlukan keupayaan menggerakkan sebuah pasukan sehingga sesuatu idea dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai dan manfaat.

“Sebagai ketua pasukan inovasi, tanggungjawab kita bukan sekadar membawa satu idea. Kita perlu menggerakkan pasukan, mendengar pandangan setiap ahli, memperbaiki kelemahan dan memastikan idea tersebut benar-benar dapat diterjemahkan menjadi penyelesaian yang memberi manfaat.

“Bagi saya, kejayaan sesebuah inovasi bukan kejayaan seorang ketua. Ia adalah kejayaan seluruh pasukan yang sanggup bekerja, belajar dan berjalan bersama,” katanya.

Beliau berkata, anugerah tersebut amat bermakna kerana lahir daripada perjalanan kerjaya yang panjang bersama UPSI serta hasil sokongan pasukan, rakan sekerja dan kepimpinan universiti yang memberi ruang kepada warga untuk mencuba serta mengembangkan idea baharu.

Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin bin Ahmad, berkata pencapaian Abdul Mueiz turut mencerminkan budaya inovasi yang sentiasa digalakkan dalam kalangan warga Pusat ICT.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa warga Pusat ICT bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan teknologi universiti berjalan dengan baik, malah mempunyai keupayaan untuk mencipta, berinovasi dan menghasilkan idea yang memberikan nilai tambah kepada UPSI.

“Peranan Abdul Mueiz sebagai Ketua Unit Aplikasi eKampus dan ketua pasukan inovasi memperlihatkan bagaimana kepakaran teknikal boleh digabungkan dengan kepimpinan, kreativiti dan semangat kerja berpasukan untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada organisasi,” katanya.

Beliau berharap pencapaian tersebut dapat menjadi pemangkin kepada warga Pusat ICT untuk terus meneroka idea baharu, memperkukuh budaya inovasi dan menghasilkan penyelesaian digital yang memberi impak kepada universiti serta masyarakat.

Menariknya, dalam tempoh yang sama, Abdul Mueiz turut mencatat kejayaan di satu lagi pentas yang jauh berbeza daripada bidang kerjayanya.

Sebagai pengurus merangkap ketua kumpulan dan penyanyi Bitara Voices UPSI, beliau bersama anggota kumpulan menyertai Pertandingan Nasyid Jabatan Agama Islam Perak sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M.

Bitara Voices berjaya meraih Tempat Ke-3 dengan hadiah wang tunai RM2,000, selain turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik berserta hadiah RM500.

Kejayaan tersebut merupakan hasil latihan, komitmen, disiplin dan kerjasama seluruh anggota kumpulan yang mewakili UPSI dalam pertandingan berkenaan.

Bagi Abdul Mueiz, pengalaman memimpin pasukan inovasi dan Bitara Voices memberikan perspektif yang hampir sama meskipun kedua-duanya berada dalam bidang berbeza.

“Dalam inovasi, saya diberikan amanah untuk mengetuai pasukan. Dalam Bitara Voices pula, saya diberikan kepercayaan sebagai pengurus merangkap ketua kumpulan dan pada masa yang sama berdiri bersama mereka sebagai penyanyi.

“Dua bidang ini sangat berbeza, tetapi mengajar saya perkara yang sama. Seorang ketua tidak akan mampu pergi jauh tanpa sebuah pasukan yang sanggup berjalan bersama,” katanya.

Dua pentas yang berbeza itu akhirnya mempertemukan teknologi, inovasi, seni dan dakwah dalam satu perjalanan yang sama, sekali gus mencipta satu kegemilangan untuk Pusat ICT dan UPSI.