Tanjong Malim, 19 November 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) dalam satu sesi lawatan rasmi yang penuh dengan perkongsian ilmu, pengalaman serta membina jaringan kerjasama antara institusi.
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik UPSI berkaitan pengurusan dan pembangunan sistem ICT, infrastruktur teknologi maklumat, keselamatan ICT serta pelaksanaan transformasi digital universiti.
Delegasi lawatan tersebut diketuai oleh Pn. Fazlimah Binti Mohamed @ Wahab, Pendaftar, En. Wan Mohd Nazarudin Bin Wan Chik Bendahari dan En. Mohammad Ashri bin Abu Hassan Timbalan Pendaftar Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi bersama 17 orang pegawai pelbagai jabatan.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk mempelajari penggunaan Sistem Maklumat Akademik dan Rekod Pelajar, Sistem Maklumat Sumber Manusia dan Sistem Maklumat Kewangan dalam menyokong kelangsungan operasi universiti. Selain itu, UniMAIWP juga berhasrat untuk meneroka aplikasi pintar yang digunakan di UPSI dari sudut pengalaman pengguna, keperluan teknikal dan keberkesanan dalam menyampaikan perkhidmatan digital kepada pelajar dan staf. Antara perkara yang dirujuk juga berkaitan pendekatan keselamatan dan Polisi Keselamatan Siber termasuk akses pengguna, perlindungan data peribadi dan pematuhan kepada polisi keselamatan siber institusi.
Ketibaan delegasi disambut oleh pihak pengurusan UPSI yang diketuai oleh En Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pendaftar dan Ts Dr Megat Azrin Ahmad, Ketua Pegawai Digital. Satu sesi taklimat telah diadakan Bilik Titiwangsa, Scholar Suites bersama pegawai dan staf Pusat ICT, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Lawatan penanda aras ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah membuka ruang kerjasama strategik yang lebih erat antara UPSI dan UniMAIWP khususnya dalam aspek pembangunan dan pelaksanaan Sistem Kampus Bersepadu di UniMAIWP.

