Antara kenangan Encik Shahrul Azlan dalam beberapa program sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.Antara kenangan Encik Shahrul Azlan dalam beberapa program sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Oleh: Maznah Othman

Tanjong Malim, 5 Mac 2026 – Seluruh warga Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Pusat ICT, UPSI) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Shahrul Azlan Mohamed Nor atas segala jasa, komitmen dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di Pusat ICT UPSI bermula 30 Jun 2000 hingga 1 Mac 2026.

Sepanjang lebih 25 tahun menabur bakti, Encik Shahrul Azlan telah memainkan peranan yang amat signifikan dalam pembangunan dan pemerkasaan infrastruktur teknologi maklumat universiti. Lantikan beliau sebagai Ketua Infrastruktur adalah satu keputusan yang tepat di mana amanah besar yang digalas berjaya dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.

Antara pencapaian beliau yang paling membanggakan ialah sebagai peneraju kepada pembangunan rangkaian setempat universiti, UPSINET. Di bawah kepimpinan dan perancangan strategik beliau, kapasiti rangkaian UPSINET telah dipertingkatkan secara berperingkat daripada 2Mbps pada peringkat awal kepada 10Gbps pada masa kini. Lonjakan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan digital universiti, malah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif pendigitalan, pengajaran dan pembelajaran dalam talian serta pengurusan maklumat yang lebih efisien. Atas sumbangan besar ini, beliau wajar dikenang sebagai “Bapa UPSINET” UPSI.

Selain itu, beliau turut menerajui projek pembinaan Pusat Data UPSI yang menjadi nadi kepada sistem dan operasi teknologi maklumat universiti. Pusat data UPSI yang dirasmikan pada 7 Oktober 2024, kini berfungsi sebagai tunjang kepada kestabilan, keselamatan dan kebolehpercayaan sistem ICT UPSI, sejajar dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan digital.

Bagi menghargai jasa , pengorbanan dan persaraan beliau, satu majlis perpisahan khas telah diadakan pada 13 Februari 2026 yang lalu bertempat di Dewan Banquet, Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Tanjong Malim, Perak.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat ICT itu berlangsung dalam suasana penuh keceriaan dan kekeluargaan. Encik Shahrul Azlan telah menerima ucapan penghargaan dan terima kasih daripada seluruh warga Pusat ICT sebagai tanda perpisahan dan pengiktirafan atas segala sumbangan beliau.

Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa terharu dan syukur atas segala kenangan bersama warga Pusat ICT. Beliau berharap agar Pusat ICT dan UPSI terus cemerlang dalam mendepani cabaran pendigitalan pendidikan pada masa hadapan.

Pusat ICT amat menghargai segala usaha, kepakaran serta kepimpinan yang telah dicurahkan oleh beliau dalam memastikan sistem dan infrastruktur ICT UPSI sentiasa berada pada tahap terbaik. Legasi yang ditinggalkan akan terus menjadi asas kukuh kepada pembangunan ICT universiti pada masa hadapan.

Semoga Encik Shahrul Azlan terus dikurniakan kesihatan yang baik dan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini. Jasa dan bakti beliau akan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah Pusat ICT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.