Delegasi UPSI bergambar bersama kakitangandi XuetangXDelegasi UPSI bergambar bersama kakitangandi XuetangX

Oleh : Ts. Abdul Mueiz Rosli

Beijing, China – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pemerkasaan akademik dan inovasi antarabangsa apabila delegasi universiti ini menyertai lawatan kerja rasmi ke Tsinghua University, Beijing, China, dari 5 hingga 9 Januari 2026.

Lawatan kerja ini melibatkan penyertaan Ts. Dr. Wong Yoke Seng (Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi) selaku ketua delegasi, bersama Dr. Mohd Muslim Md Zalli (Fakulti Pembangunan Manusia), Dr. Ahmad Wiraputra Selamat (Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi) serta Ts. Abdul Mueiz Rosli (Pusat Teknologi Maklumat).

Program ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Profesional Staf UPSI di bawah kelolaan Pusat Pembangunan Akademik (PPA) yang bertujuan memberi pendedahan langsung kepada ekosistem universiti penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), inovasi pendidikan dan kejuruteraan.

Sebelum ini, UPSI turut melaksanakan program seumpama ini bersama institusi terkemuka dunia seperti Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan University of Pennsylvania.

Menurut Ts. Dr. Wong Yoke Seng, lawatan kerja ini memberi nilai strategik yang sangat signifikan kepada UPSI.

“Lawatan ini membuka ruang yang sangat luas kepada UPSI untuk memahami bagaimana universiti penyelidikan bertaraf dunia seperti Tsinghua membangunkan ekosistem AI secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek teknologi, tetapi juga budaya, struktur dan sokongan institusi. Banyak amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan dan diadaptasi mengikut konteks UPSI,” katanya.

Sepanjang lawatan, delegasi UPSI berpeluang menelusuri sejarah penubuhan Tsinghua University sejak tahun 1911 melalui kunjungan ke Muzium Sejarah Tsinghua. Lawatan ini memberi gambaran jelas tentang evolusi universiti tersebut daripada institusi berteraskan kesusasteraan kepada peneraju global dalam bidang kejuruteraan dan sains teknologi pasca tahun 1949.

Delegasi turut melawat Tsinghua x-lab di bawah School of Economics and Management, sebuah platform inovasi dan keusahawanan yang menyokong pembangunan idea pelajar secara kolaboratif merentas disiplin. Melalui ekosistem ini, pelajar dibimbing untuk membangunkan projek inovasi dengan sokongan fasiliti, dana dan rangkaian industri sehingga ke peringkat penubuhan syarikat pemula (startup).

Lawatan delegasi UPSI diteruskan ke School of Education yang menampilkan pelaksanaan penyelidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, termasuk penggunaan AI Agent sebagai sokongan pengajaran menerusi platform MOOC. Dalam sesi perkongsian, delegasi turut didedahkan dengan dapatan penyelidikan bagi memperkasa teknologi pendidikan, antaranya pembentangan oleh Profesor Jifan Yu yang mengetengahkan potensi AI dalam menskalakan pengajaran dan pembelajaran secara mampan di peringkat pendidikan tinggi.

Selain itu, delegasi UPSI turut dibawa ke iCenter (Innovation & Engineering Practice) bagi melihat secara langsung kemudahan makmal kejuruteraan, robotik dan percetakan 3D yang lengkap. Pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan di pusat ini menjadi antara faktor utama kejayaan Tsinghua University dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Lawatan ini turut merangkumi kunjungan ke MOOC-CN Education, organisasi yang menguruskan platform XuetangX, iaitu MOOC terbesar di China dan antara yang terbesar di dunia, serta lawatan ke College of AI, sebuah kolej baharu yang memberi fokus kepada integrasi konsep “AI + X” merentas disiplin.

Delegasi UPSI bergambar di pintu gerbang Tsinghua University
Delegasi UPSI mendengar taklimat dari professor Jifan Yu di School of Education, Tsinghua University

Delegasi turut diberi taklimat oleh Tsinghua University Department of International Relations berhubung pelbagai program yang dilaksanakan di Tsinghua, termasuk prasarana serta kemudahan yang disediakan.

Delegasi UPSI menyifatkan lawatan kerja berkenaan sebagai pengalaman yang amat bermakna apabila mereka berpeluang menimba ilmu serta melihat sendiri amalan terbaik yang dilaksanakan di universiti bertaraf dunia itu.

“Pengalaman ini bukan sekadar lawatan, tetapi satu proses pembelajaran yang mendalam. Ia mengukuhkan keyakinan bahawa UPSI berada pada landasan yang betul untuk memacu inovasi digital dan AI dalam pendidikan, dengan pendekatan yang berfasa, berfokus dan berteraskan nilai,” ujar Dr Ahmad Wiraputra.

Secara keseluruhan, lawatan kerja ini memberi pendedahan yang amat bermakna kepada delegasi UPSI dalam memahami budaya keilmuan, ekosistem inovasi dan strategi pembangunan universiti penyelidikan bertaraf dunia. Pengalaman ini diharap dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh agenda transformasi akademik, penyelidikan dan inovasi di UPSI, selari dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global.