Oleh: Dr. Anizah Mohd Salleh, Dr. Faizah Abu Kassim, Ahmad Azam Abdul Somad, Mohamad Alif Nasnawi Abdullah

IPOH, 14 NOVEMBER 2026 – Sisa bongkah cendawan yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan kini mempunyai nilai tambah yang tinggi apabila komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didedahkan dengan ilmu penghasilan baja kompos melalui teknik pengkomposan lapisan. Sebagai kesinambungan inisiatif Program Pembangunan Komuniti Tertumpu: Projek Keusahawanan Cendawan Tiram, Fasa 4 yang memfokuskan Kursus Penghasilan Baja Kompos telah berjaya dilaksanakan selama sehari pada 14 November 2026 di Kem 23 RAMD Gua Permai, Tambun, Ipoh, Perak.

Program anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini melibatkan seramai 11 orang ahli BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Anggota Tentera) yang turut dihadiri oleh anggota ATM. Kehadiran barisan peserta ini membuktikan komitmen tinggi komuniti ATM dalam memperkasa kemahiran keusahawanan dan pertanian lestari, selaras dengan matlamat projek yang menyokong agenda keterjaminan makanan dan penjanaan pendapatan sampingan.

Fasa keempat projek ini memberi fokus kepada pemindahan ilmu teknik pengkomposan lapisan, yang juga dikenali sebagai kaedah timbunan berlapis. Berbeza dengan kaedah kompos biasa, teknik ini menggunakan susunan berselang-seli antara bahan kaya karbon seperti bongkah cendawan dan kadbod, serta bahan kaya nitrogen seperti sisa kebun dan sisa sayur.

Menariknya, projek cendawan tiram yang dijalankan sebelum ini telah menghasilkan bongkah cendawan terpakai yang kini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai lapisan karbon dalam penghasilan baja kompos. Inisiatif kitar semula ini bukan sahaja menyelesaikan masalah pelupusan sisa pertanian, malah menghasilkan baja organik untuk kegunaan tanaman, sekali gus mewujudkan ekosistem pertanian yang mampan dan bernilai ekonomi.

Fasilitator FTV menyampaikan sesi teori berkaitan teknik pengkomposan lapisan kepada para peserta
Para peserta dalam kalangan anggota ATM telah melakukan pemasangan tong kompos dengan bimbingan fasilitator
Ahli BAKAT turut mengambil bahagian dalam penyediaan bongkah cendawan terpakai sebagai bahan sisa perang

Melalui sesi teori dan demonstrasi praktikal yang dikendalikan oleh 3 orang fasilitator dari FTV, para peserta telah mempelajari prinsip asas pengkomposan, nisbah ideal bahan hijau dan perang, kawalan kelembapan, pengudaraan, serta suhu optimum untuk memastikan proses penguraian berjalan lancar. Turut didedahkan ialah penyelesaian kepada masalah lazim dalam pengkomposan seperti bau busuk, kekurangan haba, dan serangan serangga perosak. Peserta turut berpeluang melihat sendiri penggunaan bakteria kompos yang berfungsi mempercepatkan proses penguraian serta menjana haba dalam timbunan kompos.

Secara tidak langsung, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) melalui amalan kitar semula sisa pertanian, serta Matlamat Pembangunan Mampan 2 (Sifar Kelaparan) melalui pengukuhan amalan pertanian lestari dalam komuniti. Kejayaan Fasa 4 ini melengkapkan rantaian pemindahan ilmu dalam Projek Keusahawanan Cendawan Tiram. Dengan sokongan berterusan daripada UPSI, komuniti ATM di Kem 23 RAMD kini lebih berdaya maju dan berkeyakinan untuk menguruskan projek pertanian secara mandiri, sekali gus membuktikan bahawa kerjasama universiti-komuniti-agensi keselamatan negara mampu melahirkan impak yang holistik dan lestari.