KAJANG, SELANGOR | 17 NOVEMBER 2026
Dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara universiti dengan alumni, Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan inisiatif Ziarah Kasih menerusi kunjungan ke Ibu Pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Kajang, Selangor.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Wan Nurul Izza binti Wan Husin, bersama Timbalan Pengarah, Dr. Lee Hoi Yeh. Sesi ziarah ini telah disambut mesra oleh Yang Berbahagia Dato’ (Dr.) Ahmad Sani Araby bin Dato’ Abdul Alim Araby, yang merupakan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Era UPSI.
Sepanjang sesi kunjungan, beliau memberi pendedahan dan perkongsian kepada Pusat Alumni berkaitan inisiatif kemanusiaan, gerak kerja serta pelan pembangunan MAPIM. Beliau turut membawa untuk meninjau MAPIM Mobile Kitchen yang menjadi antara inisiatif dalam memperluas penyampaian bantuan kemanusiaan kepada golongan yang memerlukan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, berharap agar inisiatif Ziarah Kasih ini dapat terus menjadi platform memperkukuh hubungan antara universiti dengan alumni, di samping memperluas jaringan kerjasama strategik bersama organisasi dan institusi luar. Beliau turut melihat alumni sebagai aset penting universiti yang berperanan membawa nama UPSI, berkongsi kepakaran serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pengalaman dan jaringan profesional yang dimiliki.
Dalam ucapan Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Wan Nurul Izza binti Wan Husin, beliau menzahirkan penghargaan atas kesudian Yang Berbahagia Dato’ menerima kunjungan tersebut. Beliau turut berharap agar hubungan yang terjalin dapat terus diperkukuh melalui perkongsian pengalaman, jaringan kerjasama dan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada universiti, alumni serta masyarakat.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato’ (Dr.) Ahmad Sani Araby serta seluruh warga MAPIM atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan. Semoga hubungan yang terjalin ini terus mekar dan membuka ruang kepada kerjasama yang lebih bermakna pada masa hadapan.
