Oleh: Najidah binti Yahaya
TANJONG MALIM, 20–21 NOVEMBER 2026 – Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan International Webinar on Resilience 2026 bertemakan “Resilience in a Rapidly Changing World: Adapting, Surviving, Thriving” yang melibatkan penyertaan seramai 105 orang peserta daripada universiti awam, universiti swasta dan orang awam.
Penganjuran webinar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan resiliensi atau daya tahan psikologi dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang semakin kompleks dan dinamik. Dalam dunia yang sentiasa berubah, individu bukan sahaja perlu memiliki keupayaan untuk menyesuaikan diri, malah perlu membangunkan kekuatan dalaman, kemahiran mengurus emosi dan keupayaan mendapatkan sokongan yang bersesuaian.
Program ini menghimpunkan empat orang panel jemputan yang mempunyai latar belakang dan pengalaman berbeza dari Indonesia, China, Australia dan Malaysia, iaitu Mr. Rofiul Wahyudi dari Universitas Ahmad Dahlan, Indonesia; Ts. Norsuhana Samsudin dari Taishan University, China; Mr. Lok Yun Loi dari Aged Care Centre, Australia; serta Dr. Mohamad Azhari Abu Bakar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sepanjang webinar, para panel berkongsi pengalaman dan pendekatan dalam menghadapi cabaran kehidupan, kerjaya serta perubahan persekitaran.
Mr. Rofiul Wahyudi menekankan kepentingan rutin positif, pengukuhan kerohanian, persahabatan dan sokongan sosial dalam mengurus tekanan, termasuk cabaran kewangan dan penyesuaian diri di universiti.
Ts. Norsuhana Samsudin pula berkongsi pengalaman pengajian doktor falsafah di Edinburgh dan cabaran ketika pandemik, dengan penekanan terhadap sokongan sosial, penjagaan emosi serta penggunaan media sosial secara seimbang.
Mr. Lok Yun Loi mengetengahkan pengalaman akademik, profesional dan pemulihan selepas kecederaan. Beliau turut menekankan kepentingan kemahiran insaniah, kepimpinan, keseimbangan kehidupan dan hubungan profesional yang sihat.
Pada hari kedua, Dr. Mohamad Azhari Abu Bakar berkongsi tentang resiliensi dalam hubungan dan kepentingan sistem sokongan. Pengalaman beliau meneruskan kehidupan selepas mengalami kelumpuhan memberikan inspirasi tentang keupayaan manusia menerima perubahan dan bangkit menghadapi cabaran.
Secara keseluruhannya, webinar ini membawa mesej bahawa resiliensi bukan bermaksud sentiasa kuat atau bebas daripada kesukaran, sebaliknya keupayaan menerima realiti, mengurus emosi, menyesuaikan diri, mendapatkan sokongan dan bangkit semula. Sokongan sosial, hubungan interpersonal yang sihat, penjagaan kendiri dan keseimbangan kehidupan merupakan antara elemen penting dalam memperkukuh kesejahteraan psikologi.



Penganjuran International Webinar on Resilience 2026 mencerminkan komitmen Pusat Kaunseling UPSI dalam memperluas perkongsian ilmu dan jaringan kepakaran antarabangsa dalam bidang psikologi, kaunseling serta kesejahteraan insan.
Program ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu dan pengalaman yang dikongsikan dalam kehidupan seharian, akademik dan kerjaya. Pusat Kaunseling UPSI merakamkan penghargaan kepada semua panel jemputan, moderator, urus setia dan peserta atas sokongan serta komitmen dalam menjayakan program ini.
Sesungguhnya, resiliensi bukan tentang mengelakkan kesukaran, tetapi tentang keupayaan menyesuaikan diri, terus bertahan dan berkembang menjadi insan yang lebih sejahtera.

