Oleh Prof Madya Dr Shakinaz Desa
Tanjong Malim, 19 November 2026 – Seramai 27 mahasiswa Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menyahut cabaran untuk meneroka bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi penyertaan di Gemini No-Code Hackathon. Kesungguhan ini jelas memperlihatkan kesediaan bakal pendidik untuk mempelbagaikan kemahiran di luar bidang pengkhususan masing-masing.
Penyertaan sembilan pasukan FSM itu melibatkan 23 mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi), tiga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kimia) dan seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Matematik dengan Pendidikan).
Pertandingan bertemakan Generasi Pemangkin: Solusi Pintar Masa Depan Menerusi Gemini AI dan AppSheet itu membuka peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai bidang pengajian untuk meneroka pembangunan aplikasi tanpa kod (no-code) dengan memanfaatkan teknologi Gemini AI dan Google AppSheet bagi menghasilkan penyelesaian kepada permasalahan sebenar.
Daripada sembilan pasukan yang mengambil bahagian, pasukan Heutalife berjaya menempatkan diri dalam kelompok 50 pasukan terbaik dan mara ke pusingan kedua menerusi inovasi WildGuard AI, iaitu prototaip aplikasi pelaporan dan amaran berkaitan haiwan liar.
Pasukan yang dianggotai oleh Hairil Hakimi bin Hanafiah, Christina Arabella anak Sirim dan Muhammad Syakir Ikhwan bin Mohd Khazdi itu bagaimanapun tidak terpilih dalam kelompok 10 finalis berdasarkan keputusan saringan yang diumumkan pada 19 November 2026.
Menurut ketua pasukan Heutalife, Hairil Hakimi, pertandingan tersebut merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan inovasi pembangunan aplikasi.
“Cabaran utama pasukan kami ialah kekurangan kemahiran menggunakan AppSheet. Namun, dengan usaha dan kerjasama semua ahli, kami berjaya menghasilkan prototaip WildGuard AI.
“Kejayaan memasuki kelompok 50 terbaik memberikan motivasi kepada kami untuk terus meningkatkan kemahiran. Saya berharap dapat menyertai pertandingan ini lagi pada tahun hadapan dan berjaya melangkah ke kelompok 10 finalis,” katanya.
Selain Heutalife, lapan pasukan lain turut mengetengahkan idea inovasi digital dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan akademik, kesejahteraan mahasiswa, keselamatan, pengurusan kewangan, peluang pekerjaan dan kolaborasi.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah TEAmARK oleh pasukan ALL IN, CampusConnect oleh Shinova, StudyEase oleh Nova Lyra, Earnity oleh A Million Ideas, PAWPal oleh PAWtectors, AcaDynamic oleh Astrovex Crew, FINPATH oleh COGNEXIS dan RideUp oleh Code-X.
Bagi ketua pasukan ALL IN, Bryan Chia Zheng Zhan, penyertaan dalam pertandingan tersebut memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna walaupun pasukannya tidak berjaya mara ke kelompok 50 terbaik.
“Sebelum menyertai pertandingan ini, saya langsung tidak mengenali AppSheet. Cabaran terbesar ialah mempelajari penggunaannya dari peringkat asas serta memahami cara memanfaatkan AI untuk menghasilkan aplikasi seperti yang kami inginkan.
“Walaupun tidak berjaya mara ke kelompok 50 terbaik, sekurang-kurangnya kami telah memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu. Kini kami lebih memahami cabaran sebenar dalam pembangunan aplikasi,” jelasnya.



Menariknya, pertandingan ini turut mendapat penyertaan mahasiswa yang baru memulakan pengajian di UPSI. Antaranya ialah pasukan Code-X yang dianggotai sepenuhnya oleh mahasiswa Semester 1 daripada program Pendidikan Kimia dan Pendidikan Biologi.
Pasukan tersebut diketuai oleh Ahmad Yus Aiman bin Mohd Hafiz bersama Muhammad Hizbullah Hakim bin Ahmad Sabri dan Nurdayana Nazifa binti Rusli.
Menurut Ahmad Yus Aiman, pengalaman menyertai pertandingan itu membuka peluang kepadanya untuk meneroka pembangunan aplikasi berasaskan AI seawal semester pertama pengajian.
“Antara cabaran yang kami hadapi ialah memastikan idea dan ciri yang dirancang dapat diterjemahkan kepada aplikasi yang berfungsi dengan baik, selain perlu mengurus masa dan membahagikan tugasan antara ahli kumpulan.
“Walaupun tidak berjaya memperoleh kemenangan, pengalaman ini banyak mengajar saya tentang kerjasama berpasukan, komunikasi, kreativiti dan kepentingan untuk sentiasa berani mencuba sesuatu yang baharu,” ujarnya.
Keberanian mahasiswa baharu turut ditunjukkan oleh Aliyah binti Jamris, ketua pasukan Astrovex Crew daripada program Pendidikan Biologi, yang melihat pertandingan tersebut sebagai peluang mengenal pasti isu semasa di universiti dan meneroka penyelesaian melalui pembangunan aplikasi.
Bagi mahasiswa daripada bidang Sains Matematik dengan Pendidikan, Shirley Kong Yi Jie yang menganggotai pasukan PAWtectors, penyertaan pertandingan ini turut menguji keupayaan mengimbangi komitmen akademik dengan aktiviti inovasi.
“Walaupun kami sibuk dengan tugasan dan ujian sepanjang tempoh pertandingan, kerjasama antara ahli kumpulan membolehkan kami menghasilkan satu idea yang bernas,” katanya.
Pengalaman serupa turut dikongsi oleh ketua pasukan Shinova, Subaashinie a/p Gunasagaran, yang memperoleh pengetahuan baharu dalam penggunaan Gemini AI dan Google AppSheet untuk membangunkan CampusConnect, di samping meningkatkan kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah.
Sementara itu, ketua pasukan Nova Lyra, Nur Aleeya Maisarah binti Shaiful Azlimi, menyifatkan pertandingan tersebut sebagai pengalaman yang menyeronokkan kerana berpeluang meneroka pembangunan aplikasi dan berharap lebih banyak peluang seumpamanya dapat ditawarkan kepada mahasiswa.
Kesemua sembilan pasukan mendapat bimbingan daripada Profesor Madya Dr. Shakinaz Desa, pensyarah Jabatan Biologi, FSM, yang juga merupakan Google AI Champion di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Google for Education.
Penyertaan mahasiswa daripada bidang pendidikan Biologi, Kimia dan Matematik ini memperlihatkan bahawa penerokaan teknologi AI tidak semestinya terhad kepada mereka yang mempunyai latar belakang pengkomputeran.
Sebaliknya, pengalaman pertandingan tersebut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan literasi AI, pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, kolaborasi dan kemahiran menyelesaikan masalah, di samping meningkatkan keyakinan untuk meneroka bidang baharu. Penyertaan 27 mahasiswa FSM dalam Gemini No-Code Hackathon bukan sekadar pengalaman menyertai pertandingan inovasi, malah mencerminkan keberanian bakal guru Biologi, Kimia dan Matematik untuk melangkaui sempadan bidang pengkhususan masing-masing. Kesediaan meneroka teknologi baharu dan mempelbagaikan kemahiran ini menjadi asas penting dalam membentuk pendidik yang adaptif, kreatif dan bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan masa hadapan.

