Peserta bergambar di puncak Gunung Jerai

Oleh: Profesor Madya Dr Mohd Hairy bin Ibrahim, Amira Basirah binti Mohd Arizan, Wan Nur Afiqah binti Wan Mohd Zunaid, Muhammad Al-Fatih bin Razali & Syakirin Khairy bin Syamsyury

Gunung Jerai, Yan, Kedah, 31 Oktober 2026 — Seramai 82 orang mahasiswa kursus Kaji Iklim dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Ko-Kurikulum, JPN Kedah telah menjayakan ekspedisi saintifik Eksplorasi Cuaca Tanah Tinggi dan tinjauan lapangan di Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 31 Oktober 2026.

Program yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan bagi matlamat SDGs 13: Tindakan Iklim. Program ini dimulakan seawal jam 7.30 pagi selepas sesi taklimat keselamatan sebelum para pelajar menjalankan pencerapan di kawasan permukaan tanah tinggi Gunung Jerai (1,217 meter dari aras laut) bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Pengukuran variasi suhu udara, kelembapan bandingan, tekanan atmosfera, dan halaju angin dilaksanakan bagi mengenalpasti keadaan cuaca mengikut ketinggian atau altitud serta pengaruh tiupan angin dan litupan awan menjelang ketibaan Monsun Timur Laut.

Bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, para mahasiswa melaksanakan pencerapan parameter mikroklimat secara berkala merangkumi bacaan suhu udara, kelembapan bandingan, tekanan atmosfera, halaju angin, serta kualiti udara. Pengukuran ini bertujuan menganalisis fenomena kadar tukaran adiabatik, perubahan profil atmosfera mengikut altitud, serta pengaruh tiupan angin dan litupan awan menjelang ketibaan musim Monsun Timur Laut (MTL) di samping membandingkannya dengan profil iklim tanah pamah di sekitar Sungai Petani.

Sesi taklimat bersama Dr. Hairy sebelum naik ke Gunung Jerai
Peserta tiba di Puncak Gunung Jerai

Menurut Prof. Madya Dr. MOhd Hairy Ibrahim, tinjauan ini dilaksanakan bagi menilai tahap kesedaran dan kesiapsiagaan penduduk, pelancong tempatan dan pelancong antarabangsa terhadap perubahan iklim, risiko cuaca ekstrem semasa El-NIno dan siapsiaga menghadapi Monsun Timur Laut, serta kepentingan pemuliharaan ekosistem tanah tinggi.

Aktiviti pencerapan menggunakan instrumen meteorologi dan pelajar kursus kaji iklim turut menjalankan pemerhatian persekitaran dan sesi soal selidik bersama pengunjung, peniaga tempatan, serta komuniti di sekitar kawasan pelancongan tanah tinggi tersebut. Pengalaman langsung di puncak tertinggi negeri Kedah ini memberi nilai tambah yang signifikan kepada mahasiswa geografi, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI dalam menghubungkaitkan teori klimatologi fizikal dengan realiti perubahan iklim. Ini sekali gus memupuk tanggungjawab melestari alam sekitar selaras dengan aspirasi SDGs 13.