HAS_0203

UPSI, 16 Mei 2016 – ‘Tanpa guru siapalah kita pada hari ini,’ ujar Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat UPSI 2016.

“Kita tahu dengan gurulah kebanyakkan kita berjaya menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang diperlukan oleh negara demi kemajuan. Saya merasakan kita mempunyai ramai guru yang berkaliber kerana mereka ini perlu menjalani proses latihan sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun di universiti. Latihan yang diterima itulah membolehkan mereka dapat mendidik anak-anak bangsa seterusnya dapat memberi  sumbangan kepada negara dalam pelbagai bidang,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Guru Peringkat UPSI 2016 yang berlangsung di Auditorium Utama.

Tambah beliau, peranan terbesar UPSI kepada negara ialah melahirkan guru di peringkat sekolah menengah dalam pelbagai bidang dan sejak penubuhan UPSI pada tahun 1997, UPSI telah melahirkan hampir 40 ribu orang guru.

Menurut beliau, sumbangan guru-guru amat diperlukan negara untuk memastikan kita dapat melahirkan anak bangsa yang boleh menyumbangkan kepada pembangunan bersesuaian dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu, ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

“Dalam keadaan masyarakat majmuk yang paling penting ialah peranan guru di sekolah ialah dari segi perpaduan iaitu bagaimana memastikan guru dapat membantu masyarakat untuk bersatu padu  supaya dengan perpaduan ini kita dapat hidup dengan aman damai dan seterusnya membangunkan negara kita menjadi negara yang tersohor di dunia,” katanya.

HAS_0169

Majlis Sambutan Hari Guru UPSI pada tahun ini bertemakan “Pembelajaran Atas Talian” dan simbolik majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa.

Turut diadakan penyampaian enam anugerah kepada pensyarah sebagai penghargaan atas jasa yang dicurahkan iaitu Anugerah Pensyarah Berintegriti kepada Dr. Nazri Atoh (Fakulti Bahasa dan Komunikasi-FBK), Anugerah Pensyarah Profesional kepada En. Ahmad Khair Mohd Nor (FBK), Anugerah Pensyarah Proaktif kepada Dr. Samsudin Suhaili (Fakulti Sains Kemanusiaan-FSK), Anugerah Pensyarah Kreatif dan Inovastif kepada Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (FBK), Anugerah Pensyarah Prihatin kepada Prof. Dr. Kanthasamy Nallusamy (FSK) dan Anugerah Pensyarah Pilihan Pelajar kepada Dr. Yunus Sauman @ Sabin (FSK).

Artikel ini telah diterbitkan pada 17 Mei 2016.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)