UPSI, 13 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini melancarkan dua buah buku yang sinonim dalam bidang pendidikan khususnya subjek matematik terbitan Pejabat Karang Mengarang, (Penerbit UPSI) bertempat di Perpustakaan Tuanku Bainun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Dato’ Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, “dengan penerbitan dua buah buku itu iaitu TI-Nspire Graphing Technology: Pre-University Mathematics dan Model Peringkat Kefahaman Numerasi Sekolah Rendah akan menambahkan lagi koleksi buku rujukan dalam bidang Matematik”.
“Untuk membudayakan bidang Sains dan Matematik yang selama ini amat sukar menembusi hati para pelajar, kini bukan lagi mustahil kerana banyak modul pengajaran baharu telah diteroka agar pengajaran matematik lebih berkesan,”.
“Ditulis oleh pakar dari universiti pendidikan terulung di Malaysia, saya percaya buku ini akan dapat memanfaatkan ramai pembaca terutamanya kalangan pelajar,” katanya sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran Buku Baharu terbitan Penerbit UPSI.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas pembinaan bangsa dan perpaduan. Melaluinya , lahir bijak pandai dan peneraju yang akan membawa Malaysia ke persada antarabangsa.
“Sebagaimana yang kita semua maklum, ilmu pengetahuan dan pendidikan merupakan asas dan jaminan kepada pembentukan masyarakat dan negara yang makmur dan membangun. Justeru, sebagai sebuah universiti pendidikan yang terulung, UPSI perlu lebih berani menongkah arus semasa dalam melahirkan anak didik yang beridentitikan nasional,” katanya.
Tambah beliau, dalam era digital dan globalisasi ini, para pelajar perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu dan kemahiran agar boleh bersaing dan sentiasa inovatif dalam pasaran terbuka.
“Kita mahukan inovasi, idea dan kemahiran tenaga manusia yang competitive supaya diterima di negara sendiri malah menjadi rebutan di pasaran antarabangsa. kemahiran berfikir aras tinggi perlulah sentiasa ditanam dalam minda para pelajar kita ini”.
“Mengambil kira purata rakyat Malaysia membaca enam hingga lapan buah buku setahun iaitu sedikit penambahan berbanding perangkaan yang pernah dibuat sebelumnya iaitu purata hanya dua buah buku setahun, peningkatan ini dilihat satu peluang agar penerbit dapat menerbitkan buku yang lebih mesra pembaca, bersifat santai tetapi penuh dengan maklumat yang diperlukan. lebih-lebih lagi era digital ini, permintaan buku-buku digital atau e-book dilihat mampu menambahkan penawaran buku-buku rujukan semasa,” ucap beliau.
Buku TI-Nspire Graphing Technology: Pre-University Mathematics ditulis oleh Noraini Idris, Nor’ain Mohd Tajudin, Raja Lailatul Zuraida manakala buku Model Peringkat Kefahaman Numerasi Sekolah Rendah ditulis oleh Noraini Idris, Nor’ain Mohd Tajudin dan Siti Rahaimah Ali.
Pada tahun 2016, Pejabat Karang Mengarang menerbitkan sebanyak 62 judul buku. Sekaligus menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam kalangan pensyarah-pensyarah di UPSI dan universiti luar yang masih terus menulis sebagai usaha penyebaran dan perkongsian ilmu.
Turut diadakan sesi Sembang Buku bersama penulis utama iaitu Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI.