UPSI, 28 Ogos – Kumpulan Spider melancarkan album keenamnya berjudul Ankabut bertempat di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn.Bhd. Keon Omar berkata, pelancaran album di UPSI itu bertujuan berkongsi ilmu dengan generasi muda untuk mendalami bidang industri.
“Kerjasama dengan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan ini secara tidak langsung membuka ruang untuk karya-karya terbaharu Spider ini menaiki satu lagi tangga keilmuan sesuai dengan pengalaman mereka dalam industri muzik tanah air kita,” katanya.
Tambah beliau, album yang memakan masa tiga tahun untuk disiapkan itu memuatkan 10 buah lagu antaranya Akulah Cerminmu, Dahku Faham, Hanya Terleka, Waduh Tijah dan Kekasihku dan dijual pada harga RM 38.00 mulai hari ini serta boleh didapati secara digital di Itunes Store pada harga USD9.99.
Menurut Dekan FMSP, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon, pelancaran album tersebut merupakan hasil kolaborasi antara FSMP dan pihak Luncai Emas yang diadakan pada 22 April yang lalu.
“Selari dengan Pelan Pendidikan Negara dan Pelan Strategik UPSI untuk memperkasakan jaringan industri, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mengambil inisiatif mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum bersama pihak Luncai Emas untuk tempoh 5 tahun bagi mengeratkan kerjasama dalam bidang latihan industri dan praktikal, penghasilan karya seni secara kolaborasi dan pertukaran kepakaran.”
“Kedua-dua pihak turut bersetuju melaksanakan program yang melibatkan penghasilan karya seni pencarian bakat baharu dalam bidang seni muzik seperti komposisi penulisan lirik, dan pengubahan lagu dan pelajar juga berpeluang untuk terlibat dalam pengurusan pentas dan mengendalikan konsert berskala besar,” katanya.
Pada sebelah malamnya, Kumpulan Spider turut mengadakan persembahan secara percuma kepada peminat yang merindui buah tangan terbaharu mereka dengan mendendangkan himpunan lagu popular yang diselang seli dengan lagu baharu.