UPSI, 3 Disember – Pelajar Kursus KBK 3053 Kokurikulum dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Khas (JPK) dengan kerjasama Unit Terapi Dan Khidmat Sokongan UPSI (UteKS) menganjurkan ‘Fun Play Camp’ bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar mengenai program-program riadah kepada anak-anak berkeperluan khas.
Menurut pensyarah kursus tersebut, Puan Nurbieta Abd Aziz, pengisian program itu mengambil kira pelbagai aspek aktiviti fizikal yang merangkumi riadah dan bermain serta turut diterapkan elemen terapi yang disesuaikan mengikut dua kategori umur iaitu 3-13 tahun (sekolah rendah) dan 14-19 tahun (sekolah menengah).
Justeru katanya, pelbagai gerak kerja dan aktiviti dilakukan bagi memastikan susun atur perjalanan program yang diadakan di Blok 9, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, selama dua hari itu berjalan dengan lancar.
”Pada hari pertama program dimeriahkan dengan akiviti senaman aerobik, sukaneka, Puzzle ABC, aktiviti Action Song dan bowling botol.
”Manakala aktiviti hari kedua pula melibatkan aktiviti penggunaan deria sensori. Antara aktiviti tersebut adalah Movement Therapy, aktiviti Feel Free To Play dimana aktiviti ini melibatkan penggunaan kesemua deria sensori dengan bermain di bilik multisensori yang sedia ada di Jabatan Pendidikan Khas dan Play Therapy melalui kaedah Story Telling,” katanya.