HAS_7764 

UPSI, 26 Mac –  Peserta dari Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana, Adam Muhammad Taufiq Mohammad Suharto, 21 dinobatkan sebagai johan Pidato Asean Piala Aminuddin Baki yang berlangsung sempena Hari Terbuka Kolej Aminuddin Baki 2017.

Adam Muhammad Taufiq menyampaikan pidato bertajuk ‘Warisan Asean –Identiti Kita’ berjaya mengalahkan enam peserta peringkat akhir sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000.00, piala iringan dan piala pusingan.

Pertandingan anjuran pertama kali oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Kolej Aminuddin Baki dengan tema Kesepakatan Asean itu diadakan bertujuan menerapkan budaya cintakan ilmu dalam kalangan mahasiswa melangkaui pendidikan formal.

Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, En. Mohd Zaidi Aziz, berucap pada majlis perasmian Pertandingan pidato itu berkata, komunikasi atau pengucapan awam penting kepada golongan mahasiswa.

“Ketika saya bertemu dengan pihak majikan, mereka mengatakan ramai graduan tidak dapat peluang dan tempat dalam kerjaya kerana gagal ketika di temuduga bukan kerana kurang cerdik sebaliknya kerana kurang keterampilan dan keyakinan diri,”.

“Cara berpakaian, percakapan, keterampilan, keyakinan diri ketika ditemubual menjadi kayu pengukur bagi majikan masa kini. Salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri ialah melalui pidato, pantun, debat dan sebagainya. Malangnya program sebegini kurang diminati oleh golongan pelajar kerana perlu spontan dan pantas berfikir ketika berhujah,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar untuk mengasah bakat yang ada dan menjadi golongan yang bijak dalam pengucapan awam, kerana golongan sebegini akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sekali gus meningkatkan nilai graduan di pasaran.

Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Aiman Syahmi Abdul Razak, dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan tempat ketiga oleh Aliif Ihsan Akmal Shukri dari UiTM Kuala Pilah.

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan