Tanjong Malim, 18 November – Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa Muzium Pendidikan Negara dengan kerjasama Jawatankuasa Muzium dan Galeri Universiti di Malaysia (MYMuse) menganjurkan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Muzium dan Galeri Universiti Awam.
Anggota Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi berkata, UPSI perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Muzium Negara untuk menjadikan muzium lebih berinteraktif.
“Ini bukan mustahil untuk dilaksanakan kerana saya melihat UPSI mempunyai muzium yang memaparkan koleksi dan bahan pameran jika dipromosi serta dipakejkan dengan cara yang betul ia mampu mengembangkan sektor pelancongan di daerah Muallim,” katanya ketika berucap merasmikan majlis yang diadakan di Dewan SITC.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Noraini Idris berkata, peranan muzium serta galeri telah berkembang dengan pesat dan setaraf dengan kepentingan perpustakaan di Universiti Awam di dalam Negara.
“Dengan adanya pameran dan program menarik yang dianjurkan oleh muzium serta galeri di Universiti Awam, budaya membaca dapat dipupuk sekali gus segala maklumat penting berkaitan universiti disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik,”katanya.
Sebanyak 16 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertai sambutan yang diadakan dari 18 hingga 19 November 2017 ini antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Sains Malaysia.
Sambutan bertemakan ‘Muzium dan Pertikaian Sejarah – Mengungkapkan Yang Tersirat’ ini diadakan bagi mempromosi peranan muzium di IPTA sebagai sebuah institusi pendidikan tidak formal kepada masyarakat.
Antara aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya program ialah Pameran Kereta Antik, Forum Perdana Hari Muzium, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Program Derma Darah, Demontrasi Konservasi Artifak, dan Pertandingan Sukan Rakyat.