Oleh: Akma Nasir
Tanjong Malim, 21 November – Karnival Jualan Mega (KJM) 2017 yang berlangsung dari 22 hingga 26 November mencatatkan rekod baharu Negara melalui Konvoi Food Truck yang diiktiraf sebagai The Longest Distance Food Truck Convoy In Malaysia dengan penyertaan sebanyak 100 kenderaan Food truck dengan jarak sejuah 130 kilometer.
Program KJM 2017 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama wakil-wakil komuniti food truck di seluruh Negara ini diadakan bersempena Festival Food Truck Malaysia (FFTM) 2017 yang akan berlangsung di Bulatan Aman Jaya, Meru, Ipoh, Perak.
Konvoi yang diiringi kenderaan daripada pelbagai agensi seperti PDRM, Bomba, PLUS, Majlis Dearah Muallim, Majlis Bandaraya Ipoh, PETRON Malaysia, Daihatsu Malaysia, Bank Rakyat, serta UPSI ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dalam satu upacara pelepasan bermula dari 1MYC Food Truck Hotspot, UPSI.
Dato’ Sri Jamil Salleh berkata, program ini menyasarkan beberapa objektif untuk dicapai, antaranya mewujudkan persekitaran perniagaan yang menarik dan kompetitif, meluaskan pasaran produk yang diniagakan, memberi pilihan kepada pengguna, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peserta serta menggalakkan penglibatan kumpulan sasar menyertai bidang perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penjaja dan Perniagaan Kecil KPDNKK, Abdullah Abdul Rahman berkata program ini dilaksanakan selaras dengan Kursus Permantapan Khas yang diadakan sekali dalam tempoh setahun dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan@’National Blue Ocean Strategy’, bertujuan mentransformasikan perniagaan bergerak ke arah konsep yang lebih moden.
Tambah beliau, konvoi ini merupakan konvoi kali kedua yang pernah dijalankan di Malaysia.
“Konvoi pertama adalah pada 22 November 2016 melibatkan penyertaan 70 buah Food Truck dari seluruh negara dan ianya juga diiktiraf dan dicatat sebagai First Food Truck Convoy in Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
“Bilangan penyertaan bagi Kelab Food Truck Malaysia dianggarkan lebih dari 700 orang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.