UPSI, 21 Februari – Seramai 30 orang kakitangan dari kalangan pelaksana universiti Pendidikan Sultan Idris ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Pengurusan Perniagaan Pengurusan Sumber Manusia sesi kemasukan Februari 2018 bagi tempoh selama 4 tahun.
Presiden Kesatuan Pegawai Am (KPA), Nazeema Bebe Mohamed Yusof berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada usaha KPA UPSI yang ingin memastikan setiap kakitangan pada peringkat pelaksana dapat meningkatkan kemahiran dan kompetensi menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Tambah beliau, hubungan yang harmoni antara majikan dan pekerjanya dapat dibuktikan dengan kejayaan rundingan Kesatuan bersama Pengurusan Universiti bagi merealisasikan pembangunan modal insan kepada warga UPSI.
“Ini merupakan kemasukan yang paling ramai pada satu-satu masa dan Universiti memberikan ruang pembelajaran sepenuh masa dengan kaedah yang telah disarankan oleh Y.B Menteri Pendidikan Tinggi dengan waktu pembelajaran secara fleksible. Secara tidak langsung, setiap kakitangan dapat memperbaharui pengetahuan dan kemahiran sejajar dengan pembangunan sosioekonomi negara dan kepentingan pengayaan ilmu demi kemajuan dan kepuasan diri. Bukan kenaikan pangkat yang dikejar tetapi ilmu ini adalah persediaan masa akan datang selari dengan maltamat Transformasi Nasional 50,” katanya.
Pada sesi kemasukan kali ini seramai 1208 siswazah telah mendaftar di UPSI dengan jumlah 28 tawaran program dari lapan fakulti. UPSI turut mencipta sejarah menjadi Universiti Awam pertama menawarkan dengan pengambilan calon-calon lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM).
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, Ini merupakan ruang terbaik yang dapat disediakan oleh UPSI kepada warganya untuk melahirkan lebih ramai penkhidmat awam dalam Badan Berkanun yang mempunyai kelulusan lebih tinggi selari dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi ‘Soring Upward’ dan ‘UPSI Terbang Tinggi’ semasa majlis ikrar pelajar baharu yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor.
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Education University