TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa prihatin dengan masalah sosio-ekonomi yang dihadapi komuniti sekitar kampusnya dan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, UPSI berkata sehubungan itu UPSI menubuhkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) yang bertujuan menggerakkan pelbagai program bagi membantu masyarakat setempat termasuk kalangan komuniti orang Asli.

“Di bawah UCTC, kami juga menubuhkan ResQ Team yang turut terbabit membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang mengalami bencana,” katanya.

Baru-baru ini UCTC, dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu pengurusan Poliklinik Bakti Aminin, Tanjong Malim menyampaikan sumbangan kepada penduduk orang Asli.

Menurut Pengarah UCTC, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin sumbangan dan bantuan di bawah projek UPSI Prihatin itu disampaikan kepada penduduk perkampungan Orang Asli, Kampung Batu Berangkai, Kampar, Perak.

“Kami membantu untuk membawa sebanyak 100 set makanan kering yang bernilai RM4,000.00 dengan anggaran berat sebanyak 1.4 tan,” katanya.

Beliau berkata bantuan untuk 100 keluarga itu 100 kampit beras (10kg), gula, tepung gandum, minyak masak, telor, biskut dan sardin tin.

Menurut Nor Khalid sumbangan barangan keperluan itu diserahkan kepada Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Kampar serta kepada wakil komuniti.

Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata Poliklinik Bakti Aminin diwakili oleh Dr. Shafie Abd. Ghafar bersama-sama menyampaikan bantuan.

“Program yang dijalankan ini menggunakan dua buah kenderaan Hilux UPSI yang turut bergerak ke Kampung Badak Berendam, Kampar menyampaikan bantuan kepada komuniti orang Asli.

Dr Shafie mengucapkan terima kasih kepada UCTC yang membantu membawa dan menyampaikan sumbangan poliklinik beliau kepada penduduk.