Muallim 23 Ogos – Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  kepada orang ramai di daerah itu yang bermula sejak 20 Ogos lalu berjalan lancar.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar yang melakukan tinjauan ke PPV UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, inisiatif yang diambil oleh pihaknya diharap dapat membantu peningkatan imuniti kelompok seterusnya melumpuhkan penularan kes wabak pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

“Saya berasa gembira apabila dimaklumkan pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV) telah meluluskan permohonan mewujudkan PPV dengan pemberian 200 dos suntikan setiap hari kepada orang ramai yang berdaftar melalui aplikasi MySejahtera,” jelasnya.

Beliau berkata sungguhpun dikenali sebagai pusat pengajian bertunjangkan pendidikan, UPSI memainkan peranannya membantu negara dengan menyediakan prasarana dan tenaga kerja untuk mempercepatkan proses vaksinasi negara.

Menurut beliau ia sekaligus muncul sebagai pusat pengajian tinggi melestarikan kesejahteraan komuniti setempat selaras misi dan visi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).  


Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar (tengah); Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI Puan Sri Rohani Parkash Abdullah (kanan sekali) dan Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff (kiri sekali) semasa lawatan tinjauan PPV UPSI.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff seramai 60 orang sukarelawan turun padang membantu pelaksanaan misi vaksinasi PPV UPSI berkenaan.

“Sebagai universiti yang cakna terhadap kesejahteraan warganya dan  komuniti setempat, UPSI memastikan operasi PPV berjalan dengan sempurna dengan pengawasan mengikut garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).  

Beliau mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan petugas barisan hadapan pelbagai pihak terutamanya sukarelawan daripada Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (ROSH), Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Keselamatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni(JHEPA) selain sukarelawan MyVac yang diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan serta Pusat Kesihatan Daerah Tanjung Malim, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu Pengarah ROSH, Prof Madya Dr Marinah Awang berkata PPV UPSI beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang melalui temujanji aplikasi MySejahtera sahaja.

 “Kami beroperasi setiap hari kecuali hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan meminimumkan urusan orang luar bagi mengelak wujudnya kluster PPV UPSI, malah sanitasi berterusan tetap dilaksanakan UPSI Covid Buster,” katanya.


Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada Pengarah ROSH UPSI, Profesor Madya Dr. Marinah Awang (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah (kanan sekali).

demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY

– Mohd Nazirul Afiq Ismail

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my