Kuala Lumpur: Pelakon Afea Deanna Baharudean, 21, yang popular menerusi watak Yah Kuchai dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengakui menerima banyak komen yang mengaitkan penampilannya dengan Jihan Muse.
Afea berkata, dia yang masih baru dalam industri lakonan tanah air membuatkan ramai peminat tidak mengenali siapa dirinya.
“Ramai yang kata saya serupa dengan Jihan dan boleh jadi seperti dia, tapi sebenarnya tidak kerana kami sangat berbeza. Bagi saya, setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza.
“Hanya kerana mempunyai rupa yang sama tidak semestinya mempunyai jalan hidup yang sama. Saya sendiri pun tidak pasti dengan apa yang akan jadi pada saya dalam 10 tahun akan datang.
“Adakah saya masih dapat berlakon lagi? Adakah saya akan menjadi sama macam Jihan? Ataupun saya akan hidup seperti rakyat marhaen biasa yang bekerja di kedai-kedai makan. Ia bergantung kepada rezeki yang Allah beri,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, sekiranya cabaran berada dalam industri hiburan berkaitan paras rupa dan penampilan, dia akan cuba mengatasi perkara ini.
“Mungkin salah satu cabaran yang saya akan hadapi nanti berkaitan dengan rupa saya. Kalau paras rupa saya dihina, mungkin saya akan pilih hala tuju yang sama seperti orang lain iaitu mengubahsuai rupa saya. “Namun, jika saya tidak menghadapi apa-apa cabaran yang boleh menyebabkan saya ingin mengubah diri saya, pastinya saya akan kekalkan rupa saya begini sebab saya sayang diri saya dan bersyukur dengan rupa yang diberi Tuhan,” katanya.
Afea yang popular dengan dialog ‘mi kari kuah laksa’ dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri adalah lulusan Diploma Bahasa Inggeris di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
Dia mendapat peluang berlakon apabila bekerja sambilan sebagai pembantu restoran Sarang Art Hub milik Mamat Khalid.
“Saya sekarang berada di kampung di Tanjung Piai, Pontian, Johor. Sudah setahun saya tak luangkan masa dengan keluarga dan sekarang baru baru ada kesempatan.
“Sejak pandemik Covid-19 makin teruk, saya buat keputusan untuk pulang ke kampung. Buat masa ini saya cuma buat kandungan di TikTok, Instagram dan Facebook. Saya banyak meluangkan masa harian saya menjaga adik bongsu saya yang menghidap ekzema dan sawan,” katanya yang juga anak ketiga daripada lapan beradik.
demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY
– HMetro