KUALA LUMPUR – Mahasiswa diharapkan tidak melupai segala jasa dan budi pahlawan negara yang berkorban demi keamanan sehingga membolehkan mereka dapat belajar dalam suasana aman dan selesa.

Naib Canselor merangkap Komander Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Datuk Prof.  Dr. Md. Amin Md Taff berkata, mahasiswa perlu menjadi generasi yang mengenang jasa pahlawan sama ada yang sedang bertugas mahupun yang terkorban sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.

Sempena sambutan Hari Pahlawan, Md Amin berharap sebagai generasi muda, mahasiswa perlu memiliki sikap menghargai jasa dan mengenang segala pengorbanan pejuang negara kerana tanpa mereka, kita tidak akan dapat mengecapi nikmat seperti hari ini.

Nilai keamanan yang diperjuangkan pahlawan negara, katanya, menuntut kita sama-sama bertanggungjawab memacu kemajuan negara tanpa memikirkan perbezaan bangsa, dan keturunan.

“Kita bersyukur, negara masih berada dalam keadaan baik dan aman walaupun dilanda krisis pandemik Covid-19 yang tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahasiswa juga, katanya, perlu mengamalkan semangat perjuangan pahlawan kerana bukan suatu yang mudah bergelut menghabiskan pengajian yang penuh cabaran dan ujian.

“Penerapan semangat perjuangan dalam mengharungi dunia pengajian tinggi akan menguatkan ketahanan mental dan jiwa dalam mencipta kehebatan diri dan peribadi yang unggul selain prestasi akademik,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa mengambil iktibar daripada pengorbanan yang dilakukan pahlawan negara sehingga sanggup bersabung nyawa dan meninggalkan keluarga tersayang.

Justeru, setiap tahun negara mengadakan sambutan Hari Pahlwan bagi mengenang segala jasa dan budi pahlawan negara.

Jika melihat kehidupan masyarakat menempuh kemelut pandemik Covid-19, katanya, anggota barisan hadapan yang bertarung nyawa juga boleh dianggap pahlawan demi kesejahteraan rakyat.

“Mereka melaksanakan tanggungjawab siang dan malam menguruskan pesakit sehingga ke liang lahad demi amanah yang dipikul walaupun berdepan dengan risiko jangkitan dan kematian,” katanya.

demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY

– MalaysiaGazette

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)