Behrang: Kehadiran dua individu yang berpakaian askar British di atas Jambatan Slim Village, di sini, menarik perhatian orang ramai, hari ini.
Pakaian itu dipakai Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad dan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli sebagai mengingati sejarah pertempuran askar British dan Jepun di Tanah Melayu di atas jambatan berkenaan.
Shaharom berkata, pada 7 Januari 1942, berlaku pertempuran dikenali ‘Battle of Slim’ bermula di Ladang Estat Cluney yang membabitkan 3,200 tentera British dan 100 tentera Jepun yang berlangsung selama tujuh jam.
Beliau berkata, pertempuran itu terkenal kerana kejutan sepenuhnya dilakukan sejumlah kecil tentera Jepun yang berjalan dan menggunakan kereta kebal terhadap tentera British.
Menurutnya, pertempuran itu mengakhiri harapan tentera British bagi mempertahankan Tanah Melayu akibat korban tinggi dan kehilangan sejumlah besar peralatan ketenteraan.
“Pertempuran ini mengorbankan 1000 orang dan sebanyak 23 laras meriam berat, 6 laras meriam anti pesawat, 50 kereta perisai dan 550 lori pengangkutan tentera musnah serta ditawan tentera Jepun.
“Pertempuran ini bermula dengan kepantasan tentera Jepun mengatasi pertahanan di Trolak yang menonjolkan kecemerlangan penggunaan kereta kebal Jepun ketika Perang Dunia ke-II.
“Bukti pertempuran masih dapat dilihat di Jambatan Slim Village yang masih berdiri teguh di tapak sebenar pertempuran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memasang dan merasmikan Papan Tanda Informasi Tapak Sejarah Perang Dunia Kedua di hadapan Balai Polis Slim Village, di sini, hari ini.
Papan tanda informasi dipasang kira-kira 50 meter dari Jambatan Slim Village yang menjadi tempat pertempuran sengit itu.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; Timbalan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya merangkap Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli dan Pengarah Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Tajul Shuhaizam Said.
demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY
– HMetro