Sejak frasa “Keluarga Malaysia” kerap diucap dan meniti dibibir YAB Perdana Menteri Malaysia Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena ucapan pertama sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021 lalu, ia telah menyentuh hati warga UPSI khasnya staf Staf Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) dalam menjalankan tugas rasmi sebagai satu keluarga besar di sebuah organisasi kerajaan.
Dekan FSKIK, Profesor Madya Dr Mohd Zahuri Khairani berkata pendekatan kekeluargaan dalam konteks organisasi sangat perlu untuk memacu budaya kerja cemerlang kerana setiap orang merasakan mereka bertanggungjawab memacu organisasi untuk mencapai visi dan misi yang dikehendaki. Begitu juga dalam konteks “Keluarga Malaysia”, setiap warganegara memainkan peranan bersama demi Malaysia tercinta.
“Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini sangat bermakna dengan adanya slogan “Keluarga Malaysia” kerana ia sangat dekat dengan hati setiap warga Malaysia yang hidup harmoni dalam satu keluarga besar” kata Dr Mohd Zahuri.
“Sempena pembentukan negara Malaysia pada yang jatuh pada tarikh 16 September 1963 , saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia buat semua” tambahnya lagi ketika mengakhiri perbualan.
Timbalan Pendaftar Kanan, FSKIK, Encik Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain pula berkata bahawa slogan “Keluarga Malaysia” mampu mencantumkan titik kebersamaan warga Malaysia dalam satu aspirasi dan hala tuju yang sama.
Menurutnya lagi, konsep 5K (Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan) yang disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan Aspirasi Naib Canselor pada 8 September 2021 baru-baru ini mendorong warga FSKIK secara amnya mendokong slogan “Keluarga Malaysia”.
Bersesuaian dengan konsep 5K, Dr Muhammad Hariz Muhamad Adnan, Pensyarah Kanan FSKIK mengilhamkan serangkap pantun yang memaparkan peranan warga UPSI sebagai satu keluarga Malaysia. Beliau berpantun…
“Dari dahulu tetap ternama,
Itulah dia UPSI tercinta,
Warga UPSI pelbagai bangsa,
Itulah satu Keluarga Malaysia”
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat FSKIK, Fuad Najmi Mohamed Nor yang mewakili Persatuan Teknologi Maklumat (PTM) turut berkongsi serangkap pantun yang berbunyi…
“16 September tarikh bersejarah,
Penyatuan pelbagai bangsa dan budaya,
Amalan Keluarga Malaysia terlihat begitu indah;
Rakyat bersatu negara berjaya”
Sesungguhnya sambutan Hari Malaysia pada tahun ini sangat bermakna buat kita warganegara untuk sama-sama menghayati sebuah “Keluarga Malaysia” yang harmoni dan bersatu.
- Arissa Hasya Auni, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK)