Oleh: Nor Hafeqa & Hazimah (Pelajar UPSI dan Sahabat Alumni Mahasiswa – SAM)

Muallim 14 September 2021 – Program Ziarah Kasih Alumni AKSB Sabah telah berlangsung dengan menjemput 4 orang Alumni daripada 3 era yang berbeza iaitu MPSI, IPSI dan UPSI. Negeri Sabah menjadi pilihan untuk Pusat Alumni menjejaki para alumni keluaran universiti yang cukup hebat dan berpengalaman ini.

Untuk pengetahuan umum, ziarah kasih Alumni AKSB Sabah merupakan program ziarah kasih Alumni kelima yang telah dianjurkan oleh Pusat Alumni dengan kerjasama Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM).

Antara peserta yang hadir

Ziarah kasih yang dianjurkan ini bertujuan bagi mengeratkan hubungan silatulrahim bersama para graduan dari negeri di bawah bayu dengan pusat Alumni UPSI. Segala kisah pahit manis yang dilalui oleh setiap alumni turut dikongsikan bersama bagi mengimbau kembali nostalgia sepanjang bergelar Anak Kandung Suluh Budiman. Encik Deen Erwan Gunda (MPSI), Tuan Haji Tahir bin Haji Kahar@Awang (IPSI), Encik Md Saffie bin Md Salleh (IPSI) dan Cik Evna Marlina Asin (UPSI) merupakan Alumni yang diraikan dalam sesi ziarah kasih pada kali ini.

Program ini telah berlangsung selama dua jam iaitu bermula pada jam 3.30 petang hingga 5.30 petang melalui platform Google Meet. Buat julung kalinya, program ziarah Kasih Alumni AKSB yang dianjurkan pada kali ini telah dihadiri oleh pengarah Pusat Alumni yang baru saja dilantik pada awal September yang lalu iaitu Dr. Siti Hartini binti Azmi.

Menurut Pengarah Pusat Alumni, ziarah kasih Alumni ini merupakan salah satu platform yang terbaik untuk memberi peluang kepada ahli Sahabat Alumni Mahasiwa (SAM) bagi mendengar pengalaman yang cukup hebat daripada para graduan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pengarah Pusat Alumni juga sempat berkongsi pengalamannya sepanjang berada di UPSI bersama para graduan AKSB dan ahli Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM).

Melalui sesi perkongsian, para alumni telah berkongsi kisah dan pengalaman yang sempat dirakamkan sepanjang berada di bumi Muallim. Menurut Tuan Haji Tahir bin Haji Kahar@Awang, beliau pernah bekerja sebagai seorang nelayan sebelum mengambil peluang untuk menghadiri temuduga bagi kemasukan ke MPSI pada ketika itu. Tuan Haji Tahir amat teruja ketika itu apabila diterima masuk sebagai salah seorang pelajar MPSI kerana ia merupakan kali pertama beliau ke Semenanjung ketika itu.

Pengalaman yang dikongsikan oleh beliau amat mencuit hati apabila berkongsi kisah sepanjang minggu awal berada di Semenanjung.

“Saya melihat jam di tangan telah menunjukkan jam 7.00 petang tetapi langit masih cerah”, ujarnya yang agak terkejut dengan keadaan di Semenanjung yang sangat berbeza dengan negeri kelahirannya.

Encik Md Saffie sempat mengimbau kembali nostalgia lama yang berlaku di sekitar UPSI. Beliau berasa sangat teruja apabila berjaya ditawarkan masuk ke MPSI. Menurut beliau, sewaktu beliau masih belajar di MPSI, pekan Tanjong Malim hanyalah sebuah pekan kecil. Namun, kini pekan Tanjong Malim telah berkembang pesat.

Seterusnya, ada juga diantara mereka yang sempat mengimbau kembali kenangan saat pertama kali terpaksa berjauhan daripada keluarga. Menurut Cik Evna Marlina Asin, perasaannya bercampur baur apabila menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di UPSI kerana beliau tidak pernah berjauhan dengan keluarga.

Katanya “saya mau menangis ba waktu itu, saya tidak mau belajar”. Hari ini, Cik Evna merupakan seorang Guru di sebuah Kolej Vokasional di Sabah.

Titipan dan pesanan akhir Tuan Haji Tahir kepada bakal graduan dalam bidang pendidikan adalah bakal pendidik perlu mengetahui dan menguasai bidang teknologi untuk mengikut peredaran dan sistem pendidikan yang terkini. Beliau juga memberi saranan bahawa mengenali budaya masyarakat amat penting terutama sekali bagi persediaan penempatan sebagai guru di negeri bawah bayu ini.

Pengarah Pusat Alumni berkongsi maklumat terkini perkembangan UPSI kepada para alumni yang menyertai Ziarah Kasih Alumni Sabah

Diakhir sesi ziarah ini, lagu keramat UPSI iaitu Anak Kandung Suluh Budiman telah diputarkan oleh penganjur program untuk menggamit semula kenangan yang pernah dilakar. Kegembiraan dan keterujaan daripada para alumni terserlah apabila para alumni jemputan turut menyanyi bersama iringan muzik tersebut dengan cukup bersemangat.

“Terima kasih diucapkan kepada Pusat Alumni dan Sahabat Alumni Mahasiswa (SAM) UPSI kerana menjemput kami ke program ziarah kasih kali ini bagi berkongsi pengalaman yang ada.”, ujar salah seorang Alumni AKSB Sabah. Di penghujung program ini, para alumni menzahirkan rasa syukur dan berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my