Oleh: [MUHAMMAD ADLIE HAFIZIE BIN MUHD NAZIR]

TANJONG MALIM, 22 April 2026 – Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program kebudayaan Sayembara Irama Kata yang berlangsung di Dewan Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Program ini diadakan sebagai platform untuk mengetengahkan bakat mahasiswa dalam bidang seni, kebudayaan dan sastera Melayu.

Program ini berbentuk pertandingan yang memberi peluang kepada para peserta untuk mempamerkan kreativiti, bakat dan kemahiran dalam mempersembahkan karya seni. Program ini turut menjadi medium untuk memupuk minat mahasiswa terhadap warisan budaya dan kesusasteraan Melayu di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Gambar persembahan teater
Suria, 22, (empat dari kiri) bergambar sambil memegang sijil penyertaan.
Gambar pemenang bagi kategori teater

Terdapat tiga kategori utama yang dipertandingkan, iaitu deklamasi sajak, nyanyian dan teater. Setiap kategori menampilkan persembahan yang unik dan kreatif, sekali gus memperlihatkan kebolehan peserta dalam menghayati serta menyampaikan nilai-nilai budaya dan sastera Melayu kepada penonton.

Hasil temu bual bersama salah seorang peserta pertandingan, Suria, 22, beliau berkata, “Saya amat berbangga dapat menyertai pertandingan ini kerana berpeluang mempersembahkan hasil seni teater saya kepada khalayak ramai.”

Sepanjang program berlangsung, para peserta mempamerkan semangat persaingan yang sihat dan komitmen tinggi dalam memberikan persembahan terbaik. Sokongan daripada mahasiswa dan warga UPSI turut memeriahkan suasana program serta memberi penghargaan kepada usaha peserta dalam mengekalkan dan memartabatkan seni budaya tempatan.

Penganjuran Sayembara Irama Kata diharapkan dapat menjadi wadah untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berkemahiran dalam bidang seni dan kebudayaan. Program ini juga mencerminkan komitmen PERBAYU dalam memelihara serta memperkasakan bahasa, sastera dan budaya Melayu agar terus dihargai oleh generasi muda.