Oleh : Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak & Nurul Husna binti Muhammad

Bagan Datuk, 18 Mei 2026 – Seramai 32 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama pensyarah pengiring, Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak telah terlibat dalam Sambutan World Hearing Day Peringkat Negeri Perak 2026 yang berlangsung di Masjid Tuminah Hamidi, Rungkup, Perak. Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Hospital Teluk Intan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk dan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan pendengaran, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang program berlangsung antaranya saringan pendengaran dan kesihatan secara percuma, kempen derma darah, senamrobik Zumba, pameran agensi kerajaan, Program Jualan Rahmah, demonstrasi bomba serta pertandingan dan permainan interaktif untuk kanak-kanak. Kehadiran masyarakat setempat bersama pelbagai agensi menjadikan program ini lebih meriah dan memberi manfaat kepada komuniti sekitar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Negeri Perak, Dr. Muhammad Najib Nordin yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Dato’ Sivanesan Achalingam. Dalam ucapannya, beliau menyeru masyarakat terutama ibu bapa agar meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan pendengaran kanak-kanak melalui pengesanan awal dan intervensi segera bagi mengelakkan masalah pendengaran yang lebih serius pada masa hadapan.

Selain itu, Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr. Nordin Nasir turut memaklumkan bahawa tema sambutan tahun ini ialah “Dari Komuniti ke Bilik Darjah: Penjagaan Kesihatan Pendengaran untuk Semua Kanak-kanak.” Tema tersebut menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan pendengaran yang berkualiti.

Penyertaan mahasiswa UPSI dalam program ini bukan sahaja memberikan pengalaman bermakna dalam mendekati komuniti, malah membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pendengaran serta peranan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan kesihatan untuk semua.