Oleh: Ellya Ezzatil
TANJUNG MALIM, 30 Mei – Program MindQuest Aidiladha yang dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Mahasiswa Anak Selangor (MASEL) berjaya menarik penyertaan lebih 200 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pelaksanaan kuiz dalam talian bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Program yang dilaksanakan secara maya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan mahasiswa mengenai sejarah, penghayatan serta nilai-nilai murni yang terkandung dalam sambutan Aidiladha melalui pendekatan yang santai, interaktif dan mudah diakses.
Menurut Pengarah Program, Nur Amira Natasha binti Izwan, program tersebut diwujudkan sebagai medium pembelajaran alternatif yang membolehkan mahasiswa menimba ilmu sambil menghayati makna sebenar di sebalik sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat menguji tahap pengetahuan mereka, malah berpeluang memahami nilai pengorbanan, keikhlasan dan kemanusiaan yang menjadi teras sambutan Aidiladha,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bimbingan dan Kaunseling semester empat berkata program itu turut memberi penekanan kepada pembentukan semangat ukhuwah, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.
Program tersebut terbuka kepada seluruh mahasiswa UPSI termasuk pelajar dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan platform pembelajaran yang lebih inklusif serta mampu melibatkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang.
Sambutan yang diterima juga amat memberangsangkan apabila kira-kira 300 mahasiswa telah mendaftar untuk menyertai program tersebut. Daripada jumlah itu, lebih 200 peserta berjaya menyelesaikan kuiz yang dijalankan sepanjang tempoh program berlangsung.
Menurut Nur Amira, jumlah penyertaan yang dicatatkan menunjukkan mahasiswa masih mempunyai minat yang tinggi terhadap program berbentuk ilmiah, terutamanya yang menggabungkan elemen pendidikan dan penghayatan nilai-nilai Islam.
Pelaksanaan program secara dalam talian turut memudahkan mahasiswa untuk menyertai aktiviti tersebut tanpa kekangan lokasi, sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar mengambil bahagian.
Penyertaan yang menggalakkan itu mencerminkan komitmen mahasiswa UPSI dalam menyertai aktiviti berteraskan ilmu serta usaha berterusan untuk memperkukuhkan kefahaman terhadap nilai-nilai murni yang diterapkan melalui sambutan Hari Raya Aidiladha.
