oleh: Prof Madya Dr Ghazali Din
Kesungguhan Pasukan ResQ , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu mangsa banjir di beberapa lokasi banjir mendorong orang ramai terus memberi sumbangan kepada pasuka sukarelawan itu dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan untuk kegunaan anggota pasukan berkenaan mencuci rumah mangsa banjir.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin menyokong inisiatif Pasukan ResQ UPSI membantu mangsa banjir.
“Semua yang menyumbang sangat kami hargai dan ini membakar semangat anggota sukarelawan UPSI untuk bergerak ke lokasi-lokasi yang memerlukan sumbangan tenaga untuk mencuci rumah mereka,” katanya.
Beliau melahirkan kebanggaan atas kesanggupan kakitangan dan pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi pertimbangan kemanusiaan dan keprihatinan membantu mangsa banjir.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata sukarelawan Pasukan ResQ senantiasa bersemangat untuk berbakti secara berpasukan dan menghayati semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.
“Dengan berbekalkan semangat itu, mereka tidak terasa penat malah puas dengan segala sumbangan bakti untuk insan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Ketua Unit Penajaan dan Sumbangan Pasukan ResQ, Naim Rehman berkata beberapa penyumbang yang enggan nama mereka didedahkan itu menyumbang wang tunai untuk membeli tiga unit waterjet high berkuasa tinggi untuk kegunaan lasak bagi tujuan pembersihan rumah mangsa banjir.
Selain itu beliau turut menyumbangkan satu unit compressor untuk kegunaan membersih serta satu unit Electrical Generator Set untuk membekalkan elektrik sekiranya kawasan yang dituju tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Peralatan waterjet lama sebelum ini digunakan secara optimum sejak 19 Disember hingga hari ini.
Justeru, dengan adanya peralatan baharu itu, katanya, akan memudahkan urusan Pasukan ResQ untuk bekerja dengan lebih cekap dan pantas bagi tujuan misi pembersihan bantuan banjir.
Naim berkata aset baharu berkenaan mula digunakan hari ini untuk misi pasca banjir di Semantan, Temerloh, Pahang yang membabitkan 32 sukarelawan diketuai pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Farizul Athir Mohd Ramli dan diiringi Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Mohd Azlan Nafiah.
Seterusnya besok misi membantu di Kampung Batu Kapur, Mentakab, Pahang dan destinasi seterusnya tertakluk kepada keperluan semasa.
UPSI bukan sahaja aktif menggerakkan sukarelawan memberi sumbangan barangan keperluan dan bantuan tenaga penyelamat, malah menghantar pasukan bantuan asas psikologi bertemu penduduk yang menghadapi trauma disebabkan banjir.
Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung UPSI Prihatin boleh disalurkan ke akaun 08068010003264 (Bank Islam Malaysia Berhad).