- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail (nazirul.ismail@upsi.edu.my) & Nor Amila Che Zaidi (Pelajar Latihan Industri Bahagian Komunikasi Korporat UPSI)
- Foto: Unit Foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI
TANJUNG MALIM 21 Disember – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedia menjadi lokasi penganjuran acara dan kejohanan sukan peringkat rakyat, kebangsaan mahupun antarabangsa tahun 2022.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, kampus pusat pengajian tersebut terletak di bahagian tengah semenanjung tanahair dan tidak jauh dengan Lembah Kelang iaitu kira-kira 90 kilometer daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur, tempoh pemanduan kira-kira sejam menerusi akses lebuhraya utara-selatan (PLUS), menjadi kelebihan lokasi penganjuran di daerah tersebut.
“Sebagai salah sebuah universiti awam yang menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memasyarakatkan universiti, UPSI amat komited mahu membantu melonjakkan sukan tanahair dengan menyediakan prasana sukan yang terletak di daerah ini,” jelasnya dalam suatu kenyataan.
Menurut Md Amin lagi, UPSI mempunyai dua buah kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJ) berhampiran pekan Tanjung Malim dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang terletak di Proton City, daerah yang sama berkeluasan kira-kira 880 ekar (356.123 hektar) dan memiliki kompleks sukannya tersendiri iaitu Sports City @ UPSI di KSAS .
“Terdapat pelbagai kemudahan mampu universiti sediakan antaranya stadium balapan, empat buah padang bolasepak dan ragbi, gelanggang bola jaring, gelanggang hoki, sofbol, gelanggang sepaktakraw, gelanggang bola tampar dan petanque yang memenuhi spesifikasi standard penganjuran.
“Selain itu juga Sports City @ UPSI juga mempunyai kemudahan arena untuk penganjuran sukan dalam dewan seperti gelanggang futsal, gelanggang hoki, gelanggang badminton, sepaktakraw, bola baling, squash dan sebagainya. Malah UPSI turut mempunyai kemudahan kolam renang yang mempunyai sama taraf spesifikasi penganjuran olimpik yang turut dibuka untuk kegunaan awam menjadi tarikan penduduk setempat di sini,” tambahnya lagi.
Mempunyai pelbagai pengalaman penganjuran sukan, UPSI pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) dengan penyertaan seramai tujuh ribu atlet termasuk pegawai pengiring daripada 12 buah universiti awam dan menjadi lokasi gelembung sukan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2021 serta Karnival Sukan Perak (SUPER) 2021 yang baru saja berlangsung baru-baru ini.
“Bukan itu saja, UPSI turut mempunyai kemudahan seratus buah bilik hotel tiga bintang serba selesa iaitu Scholar’s Suite yang mempunyai pemandangan indah berlatar belakangkan Banjaran Titiwangsa dalam kampus untuk kemudahan penginapan,” jelasnya lagi.
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan berkenaan lokasi penganjuran sukan di UPSI boleh hubungi di talian +605 – 450 6000 / 6661.