• oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
  • foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini membuka tirai tahun 2022 dengan menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan doa selamat semasa perhimpunan bulanan bersama kakitangan dan warga UPSI di sini. 

Program bacaan Yaasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Muhammad Majdan Ismail itu dianjurkan untuk merapatkan silaturrahim antara kalangan kakitangan dan kepimpinan universiti di samping menadah tangan memohon doa mengharapkan segala perancangan pada 2022 dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, dalam ucapannya mahu mengamalkan pendekatan konsep beragama dan kekeluargaan dijadikan sebagai teras pembangunan potensi insan di UPSI.

“Tahun 2021 telah menyaksikan kecemerlangan buat institusi pendidikan yang bersejarah ini apabila banyak kejayaan manis terlakar sungguhpun terdapat rintangan cabaran apabila negara masih lagi berhadapan dengan penularan covid-19 yang menuju ke fasa endemik.

“Tahun ini, UPSI akan memastikan kebajikan buat warganya, menggalakkan kecemerlangan dan memperkukuhkan ukhwah sesama kakitangan dan mahasiswa. Apalah ertinya bekerja tanpa ada rasa keseronokan dan tiada nilai kekeluargaan dalam jabatan,” jelasnya lagi.

Menerusi pendekatan dasar inspirasi 5K 2021-2024 iaitu Kekeluargaan, Kasih-sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan, Md Amin menggesa setiap jabatannya mengisi program kerohanian pada setiap hari Rabu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengahari dan dikecualikan daripada kuliah pada setiap minggu.

Selain memperkasakan hubungan antara warganya, Dr. Md Amin Md Taff berkata, keluarga UPSI amat bertuah apabila berpeluang menjadi saksi kepada peristiwa bersejarah institusi pendidikan keramat itu yang akan berlangsung pada 29 November 2022 ini.

“Kemunculan tahun baru 2022 pula menjadi titik tolak kepada peristiwa bersejarah sambutan 100 tahun UPSI  sebagai sebuah legasi perjuangan bangsa dalam bidang pendidikan untuk nusa dan tanahair malah untuk segenap nusantara dan pembangunan kepada kesejahteraan negara,” ujarnya kepada lebih seribu warga kakitangan UPSI di Masjid A-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah di sini. 

Sepanjang Januari sahaja, terdapat 15 program direncanakan universiti antaranya Program Outreach Ramah Mesra Bagan Datuk, Perak, Program Bersepadu Orang Asli EmpowerNCER Akademik, Sumposium Universiti untuk Komuniti (UTC), Pelancaran Aplikasi Digital Wellness Centre, Sambutan Hari Keluarga UPSI, Penamaan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan banyak lagi.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)