- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
- foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid / Siti Amirah Hamid
Proton City 14 Januari – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung-julung kalinya menjadi tuan rumah kepada penganjuran Simposium Universiti untuk Komuniti (UTC) melibatkan lebih 600 pelajar daripada 21 buah institut pengajian tinggi (IPT) di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim.

Simposium UTC yang berlangsung selama 11 Januari 2022 hingga 14 Januari 2022 di UPSI itu melibatkan aktiviti pertemuan, pembentangan, bimbingan daripada pakar-pakar dalam bidang keusahawanan sosial dengan usahasama daripada beberapa agensi antaranya Kementerian Pembangunan Keusahawanan (MEDAC), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar KPT, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, simposium UTC merupakan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memartabatkan Keusahawanan Sosial di IPT sebagai pelantar untuk merapatkan jurang sosial dan ekonomi di antara universiti dan komuniti.
“Program ini menjadi wadah kepada pelajar mencipta pekerjaan sendiri sebagai usahawan sosial yang dinamik mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa. Bukan itu sahaja, inisiatif ini secara tidak langsung membantu mengeratkan hubungan dan mewujudkan kerjasama IPT, industri serta komuniti seperti yang digariskan di dalam Teras 2 Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025 iaitu kerjasama memperkasa kolaborasi yang berimpak tinggi,” jelasnya semasa berucap di majlis perasmian penutup Simposium UTC hari ini.
“Kementerian berharap dengan usaha seperti ini dapat diteruskan dan melahirkan lebih ramai usahawan sosial dari kalangan mahasiswa IPT yang dapat menyumbang semula melalui inovasi perniagaan mereka kepada negara terutama kepada kesejahteraan sosio-ekonomi negara, sesuai dengan slogan ‘KPT Prihatin’,”

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta turut didedahkan dengan pelbagai informasi berkaitan Keusahawanan Sosial dan Inovasi Sosial. Program ini juga menilai prestasi peserta program sejak dilancarkan sekitar bulan September 2020 sehingga bulan Januari 2022.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyambut baik saranan KPT menjadikan UPSI sebagai tuan rumah penganjuran acara yang amat bermanfaat kepada golongan pelajar.

“Kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara, bakal graduan berdepan cabaran ketidaktentuan mendapatkan pekerjaan. Menerusi program ini memberi makna yang cukup besar kepada pelajar sendiri menerajui perusahaan sosial ditubuhkan. Sekaligus mahasiswa IPT hari ini bertindak sebagai katalis kepada pembangunan masyarakat,” jelasnya.
Program bermanfaat, beri impak – mahasiswa
Kumpulan wakil mahasiswa Kursus Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengusahakan perniagaan produk makanan dengan jenama Cik Ita Salai, Syazwani Abdul Syukor, berkata pengisian amat menyeronokkan

“Sepanjang tiga hari menyertai simposium, kami memperoleh pelbagai ilmu baru berkenaan keusahawanan sosial seperti melalui perkongsian bermanfaat dan tugasan daripada pihak penilai untuk memajukan perniagaan keusahawanan sosial yang diusahakan,” jelasnya.
Menerusi penyertaan program yang mereka sejak tahun 2020 berjaya menjadikan jenama Cik Ita Salai bersaing dengan meletakkan makanan resepi Melaka-Negeri Sembilan sehingga mencatatkan pulangan jualan sehingga sepuluh ribu ringgit sebulan.
“Selain pelaksanaan program hebat disediakan KPT, bimbingan pensyarah pengiring Dr Noor Raihani Zainol dan Dr Fatihah Mohd banyak memberi kami semangat untuk merealisasikan kejayaan Cik Ita Salai,” tambahnya lanjut.