BENTONG: Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dengan kerjasama Budiman Care menggerakkan ahlinya menyertai misi kemanusiaan pascabanjir di Bentong, Pahang bagi membantu mangsa banjir.
Program yang dilaksanakan baru-baru ini melibatkan seramai 15 ahli yang diketuai Presidennya Profesor Dr. Abdul Halim Ali.
Prof Dr Abdul Halim berkata walaupun BUDIMAN sebuah persatuan penulis, namun tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap mangsa banjir tidak dilupakan.
“Misi kemanusiaan ini digerakkan bagi membantu mangsa banjir serta melaksanakan kerja-kerja sosial membersih bangunan sekolah yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan amal,” katanya.
Setiausaha Budiman Care, Dr. Nur Faaizah Md Adam, berkata gerak kerja sosial tertumpu di kawasan Sekolah Rendah Tuanku Fatimah, Bentong.
Katanya, kerja-kerja yang dilakukan meliputi pembersihan bilik galeri, bilik pembelajaran bahasa Inggeris, astaka, foyer, bilik mesyuarat serta perlupusan sampah sarap.
“Kerja sosial dan misi kemanusiaan yang dilaksanakan selama dua hari itu turut disertai guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan, “katanya.
Pada hari kedua program, diadakan acara penyampaian sumbangan kewangan kepada 15 orang guru sekolah yang terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda rumah-rumah mereka. Turut disampaikan adalah sumbangan pakaian yang disumbangkan oleh penderma-penderma.
Sumbangan disampaikan Prof Dr Abdul Halim yang mewakili Budiman Care dan Persatuan Penulis Budiman Malaysia manakala Guru Besar, Zaleha Osman menerima bagi pihak sekolah.
Misi kemanusiaan kali ini turut meninjau kawasan kampung Chegar Medang yang terjejas teruk akibat banjir dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada pihak pengurusan PPS Surau Industri Benus, Bentong.
Prof Dr Abdul Halim turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan sumbangan kewangan, pakaian, mesin pembersih lumpur, makanan dan minuman, tempat tinggal dan pengangkutan bagi menjayakan misi kemanusiaan selama dua hari itu, termasuk enam orang pelajar Kelab Sahabat Ulul Albab, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang turut terlibat membantu. – sabah360online